Jenazah bekas Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham Tan Sri Dr. Ali Hamsa tiba di kediamannya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk dekebumikan hari ini di Presint 10, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 25 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Pemergian Tan Sri Dr Ali Hamsa bukan sahaja satu kehilangan besar kepada dunia penjawat awam bahkan sebagai guru khususnya kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata, namun berkhidmat di bawah Allahyarham banyak mengajarnya selok-belok dunia penjawatan awam di negara ini.

“Banyak (kenangan manis bersama Tan Sri) saya sebenarnya pada zaman saya mula-mula dulu menyertai perkhidmatan awam.

“Tan Sri merupakan cikgu saya dan Datuk Seri Sallehuddin pun sama.

“Banyak ilmu yang dicurahkan kepada kami, Insya-Allah segala jasa Tan Sri tak dapat kita lupakan,” katanya kepada pemberita di hadapan kediaman Allahyarham Ali di Presint 10, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi penghormatan terakhir kepada bekas KDN itu di kediaman arwah di Presint 10, di sini, pada jam 9.42 pagi.

Bagaimana Perdana Menteri kelihatan meninggalkan kediaman Allahyarham kira-kira jam 10.09 pagi tanpa bertemu petugas media untuk memberikan sebarang kenyataan.

Allahyarham Ali, 66, yang diterbangkan dari Ireland, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Tambahnya, beliau sendiri mengakui ketokohan Allahyarham yang disifatkanya sebagai seorang penjawat awam yang dedikasi dalam tugasannya di beberapa kementerian sebelum ini.

“Tan Sri seorang yang bekerja kuat daripada hati dia sendiri sebab saya pernah pengalaman berkhidmat di bawah Tan Sri di beberapa agensi.

“Memang satu kehilangan amat besar,” katanya lagi – MalaysiaGazette