Alumni UMS teruja apabila dijemput untuk menyertai perarakan buat julung kalinya pada sidang pertama Majlis Konvokesyen UMS ke-25.

KOTA KINABALU – Ibarat ‘sirih pulang ke gagang’, sekumpulan alumni Universiti Malaysia
Sabah (UMS) teruja apabila dijemput untuk menyertai perarakan buat julung kalinya pada
sidang pertama Majlis Konvokesyen UMS ke-25 baru-baru ini.

Sidang pertama konvokesyen yang disempurnakan Tun Juhar Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah merangkap Pro-Canselor UMS itu menyaksikan seramai 18 alumni UMS hadir memeriahkan acara tersebut.

Pengarah Pusat Alumni UMS, Dr. Arif Kamisan Pusiran berkata, pihaknya telah menjemput alumni UMS dari pelbagai latar belakang kerjaya meliputi pelbagai program pengajian yang mereka ikuti semasa bergelar pelajar UMS.

“Terdapat dalam kalangan alumni yang hadir terdiri daripada alumni ambilan pertama sesi
1995/1996 UMS yang bergraduat pada tahun 1999.

“Pastinya kenangan sewaktu hadir bersama dalam Dewan Canselor, tempat berlangsungnya majlis Konvokesyen UMS ini memberi seribu satu pengalaman manis yang akan dikenang dalam lipatan sejarah mereka,” katanya.

Tambah Dr. Arif lagi, alumni dilihat sebagai aset penting yang boleh menyumbangkan kecemerlangan universiti melalui sumbangan idea dan kepakaran demi melestarikan pembangunan universiti menerusi ikatan hubungan antara alumni dan UMS dalam memperkukuhkan ekosistem universiti.

Sementara itu, salah seorang alumni yang ditemui, Anas Sulaiman, graduan pertama pada tahun 1999 tidak melepaskan peluang apabila sanggup datang dari Sandakan bagi menghadiri majlis konvokesyen ini.

“Saya sangat berterima kasih kepada Pusat Alumni, UMS yang mengaturkan program sebegini yang melibatkan alumni.

“Perasaan teruja dan sebak tatkala menjejakkan kaki ke Dewan Canselor yang begitu gah ini kerana dulu saya hanya merasai pengalaman konvokesyen di Dewan Undangan Negeri Sabah pada tahun 1999,” ujarnya yang kini bertugas sebagai Penolong Guru Besar di SMK Sandakan.

Dr. Yeap Boon Tat, graduan ambilan pertama Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) 2008 bangga sebagai alumni UMS dan mengucapkan syabas atas usaha Pusat Alumni UMS menjayakan program sebegini kepada para alumni.

Beliau kini adalah pensyarah UMS dan Pakar Bius di Hospital Queen Elizabeth.

Pengarah Urusan, Kundasang Aquafarm & Konoha Agrotech Sdn. Bhd, Azizul Julirin, alumni Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) tahun 2010 turut gembira dijemput kembali ke UMS dan merasai semula suasana konvokesyen.

Perasaan teruja itu juga dikongsikan oleh Radziah Matarsad, alumni Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) tahun 2005 yang kini merupakan usahawan South East Asia Treasure.

Kumpulan alumni tersebut turut dibawa makan tengah hari bersama Canselor, Ahli Lembaga Pengarah UMS serta pengurusan utama universiti. – MalaysiaGazette