Datuk Wira Hasan Abd Rahman

MELAKA – Alumni 4B Malaysia akan mewujudkan Jawatankuasa Disiplin untuk mengambil tindakan tegas terhadap ahlinya yang didapati melanggar perlembagaan termasuk melompat parti.

Naib Presidennya, Datuk Wira Hasan Abd Rahman berkata, perkara itu akan dicadangkannya pada hari kedua Mesyuarat Tertinggi (MT) Persidangan Tahunan Pertubuhan Bekas Ahli 4B (Alumni 4B) Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, Alumni 4B adalah ‘kenderaan’ UMNO serta Barisan Nasional (BN) dan adalah menjadi tanggungjawab setiap ahlinya memastikan rakyat terus memberikan sokongan terhadap parti itu.

“Jadi mana-mana ahli alumni yang melompat parti yang sepatutnya ikrar mereka bersama dalam parti tetapi menyongsong arus, melompat parti dan tak ikut saranan kita, maka kita boleh menimbangkan untuk mengambil tindakan disiplin.

“Ini kita belum bincang di peringkat Majlis Tertinggi, esok (hari ini) kita sarankan supaya wujudkan Jawatankuasa Disiplin yang mana ahli ingkar kepada dasar alumni maka mereka boleh diambil tindakan yang melanggar peraturan perlembagaan alumni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Tahunan dan Majlis Makan Malam Alumni 4B Malaysia Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali di sebuah hotel di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Hasan yang juga Pengerusi Alumni 4B Melaka berkata, sebagai sebuah pertubuhan terdiri daripada ahli UMNO dan BN, sudah menjadi tanggungjawab alumni memastikan rakyat menyokong apa sahaja kebaikan dasar dibawa parti itu.

“Jadi kalau orang cakap kenapa Alumni 4B dikaitkan dengan politik, alumni ada hak untuk tentukan kuasa politik, memastikan kepimpinan negara di bawa parti yang mampu memberikan kestabilan dan kemakmuran.

“Pertubuhan kita adalah tapak semaian untuk melahirkan kepimpinan masa depan negara yang baik berbekalkan pengalaman yang ada,” katanya.- MalaysiaGazette