Home Ekonomi Anak kapal BA ancam mogok Hari Krismas

Anak kapal BA ancam mogok Hari Krismas

BRITAIN – Anak kapal British Airways yang berpangkalan di Heathrow mengancam untuk mogok pada Hari Krismas dan Hari Boxing kerana tidak puas hati dengan gaji dan perkara-perkara lain.

Tindakan yang disokong oleh Kesatuan Unite itu melibatkan 4,500 kakitangan kontrak yang menyertai syarikat penerbangan itu sejak 2010.

Mogok itu dicetuskan selepas gaji mereka dinaikkan 2.0 peratus, mendorong 1,200 ahli Unite mengundi untuk melancarkan protes.

Unite mendakwa mereka dibayar gaji rendah berbanding kakitangan lain.

Bagaimanapun, British Airways berkata, semua penerbangan jarak jauh akan diteruskan seperti biasa, begitu juga semua penerbangan keluar dari Lapangan Terbang Gatwick dan City.

Katanya, pelan kontigensi di Heathrow akan dimaklumkan dalam tempoh tiga hari lagi.

Unite mendakwa gaji bagi kontak anak kapal pelbagai pesawat yang diiklan adalah antara 21,000 pound hingga 25,000 pound tetapi realitinya hanya 12,000 pound dicampur 3 pound untuk sejam penerbagan.

Tambahnya, kesatuan “tidak mempunyai kolektif tawar-menawar kolektif” dan pengurus terpaksa mengharungi pembekuan gaji selama enam tahun.

British Airways pula mempertahankan bahawa syarikat penerbangan itu telah mencadangkan kenaikan gaji yang adil dan munasabah selaras dengan yang diterima oleh kakitangan British Airways lain.

Syarikat penerbangan itu mengakui terkejut dengan tindakan mogok Unite yang pastinya mengganggu perjalanan pelanggan pada hari-hari istimewa itu. – MalaysiaGazette