Altantuya Shaariibuu

SHAH ALAM – Anak lelaki sulung warga Mongolia yang mati dibunuh, Altantuya Shaariibuu, berkata bapanya seorang penyanyi rap dan hip-hop terkenal di Mongolia enggan membelanya selepas ibunya dibunuh pada 2006.

Bayarkhuu Bayarjargal, 21, yang telah menukar nama daripada nama asal Mungunshagai Bayarjargal memberitahu pendengaran satu kes saman sivil di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa bapanya, Bayarjargal Bayasgalam yang juga dikenali sebagai ‘Madai’ telah berkahwin semula dan mempunyai anak-anak lain.

Beliau berkata demikian semasa di soal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon, yang mewakili Abdul Razak Baginda.

“Bapa saya telah memberitahu saya secara berterus terang bahawa beliau telah berkahwin semula. Beliau telah memperoleh anak-anak lain dan enggan membela saya. Beliau juga meminta maaf kepada saya kerana tidak dapat bersama dengan saya ketika saya sedang membesar. Sebagai anak, saya berasa seperti beliau tidak mengingini saya.

“Saya bertemu beliau pada 2011 buat kali pertama…sebelum 2011, saya tiada langsung berhubungan dengan beliau dan apabila saya bertemu dengannya pada 2011 beliau kata beliau baru saja balik dari United Kingdom,” katanya.

Manjeet: Adakah kamu tahu bila ibu bapa kamu bercerai

Bayarkhuu: Daripada perbualan nenek dan datuk saya, saya baru tahu bahawa mereka telah bercerai ketika saya belum mencapai umur setahun.

Manjeet: Adakah kamu tahu bahawa tiga tahun sebelum 2006, ibu kamu telah menghalang bapa kamu daripada berjumpa dengan kamu

Bayarkhuu: Saya tidak tahu.

Manjeet: Kamu telah menukar nama kamu kepada Bayarkhuu Bayarjargal daripada Mungunshagai Bayarjargal sebab kamu mahu nama kamu serupa dengan nama bapa kamu Bayarjargal Bayasgalam Kamu memilih nama itu kerana kamu sebenarnya memang sangat bangga dengan beliau

Bayarkhuu: Saya tak setuju. “Bayar” dalam bahasa Mongolia bermaksud kegembiraan, ia satu nama yang popular dan nama itu dipilih oleh datuk dan bukan sebab saya berbangga dengan beliau (bapa).

Ketika memberi keterangan lanjut mengenai bapanya yang juga vokalis kumpulan muzik Khar Sarnai (Black Rose), beliau berkata bapanya tidak datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang ibunya walaupun beliau tahu mengenai kematiannya.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh Peguam Kanan Persekutuan Jasmee Hameeza Jaafar, yang bertindak bagi pihak kerajaan Malaysia, Bayarkhuu berkata bapanya tidak memberi sebarang bantuan kewangan untuk membiayai pendidikannya.

“Datuk saya yang membiayai pendidikan saya,” kata siswazah Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Mongolia itu.

Bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan isterinya Altantsetseg Sanjaa dan dua orang cucu lelaki mereka – Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga – memfailkan saman itu pada 4 Jun, 2007.

Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga digugurkan daripada senarai plaintif berikutan kematiannya dua tahun lepas.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya telah menyebabkan mereka mengalami kejutan emosi dan trauma yang melayakkan mereka dibayar ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau.

Pendengaran di hadapan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera itu bersambung pada 6 Mei.

— BERNAMA