!5 ADUN gabungan Perikatan Nasional mengunjungi Yang Di-Pertua Negeri Melaka untuk menyelesaikan konflik politik di negeri itu.

KUALA LUMPUR – Istiadat Pengurniaan Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka ke-12 yang dijadual berlangsung esok ditangguhkan pada Isnin depan.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Seri Hasim Hassan dalam satu kenyataan media petang tadi.

“Dimaklumkan bahawa Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob telah memutuskan agar Istiadat Pengurnian Suratcara Perlantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka ke-12 ditangguhkan.

“Istiadat itu akan berlangsung pada 9 Mac 2020 bersamaan Isnin pada jam 3 petang di Dewan Seri Utama Pejabat Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri,”katanya.

Artikel berkaitan: Cadangan bubar ditolak, Ketua Menteri Melaka perlu letak jawatan

Pelantikan Ketua Menteri Melaka yang baharu terpaksa dilakukan berikutan kerajaan negeri pimpinan kerajaan Pakatan Harapan yang diterajui Adly Zahari runtuh dan tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar Ahli Dewan Undangan Negeri.

Adly mencadangkan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubar bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), namun telah ditolak oleh Mohd Khalil.

Berdasarkan Perkara 7(4) Perlembagaan Negeri Melaka, Ketua Menteri Melaka hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Krisis politik di negeri Hang Tuah yang berjangkit daripada kerajaan Pusat berikutan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri itu sepatutnya selesai esok, namun ia berpanjangan apabila gabungan Perikatan Nasional menarik diri daripada bekerjasama dengan dua ADUN Bersatu. – MalaysiaGazette