Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan mencari jalan lain bagi dinamakan sebagai Jalan Palestin dalam masa terdekat.

Menurut Annuar, ia bagi memastikan nama Jalan Raja Laut yang ketika ini dinamakan sempena negara Islam yang bergolak itu dikekalkan seperti sedia kala.

“Datuk Bandar akan cari jalan lain yang lebih sesuai untuk dinamakan Jalan Palestine…Jalan Raja Laut 1 hendaklah dikekalkan seperti asal,” katanya dalam ciapan terbaru di Twitter miliknya, hari ini.

Semalam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memmaklumkam nama Jalan Raja Laut di sini kini ditukar kepada Jalan Palestin.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL menerusi satu kenyataan memaklumkan cadangan mewujudkan Jalan Palestin di sini tercetus semasa Majlis Himpunan Hari Quds Sedunia yang diadakan di Dataran DBKL pada 26 hingga 31 Mei 2019.

Semalam, Annuar dalam ciapannya mempersoalkan tindakan DBKL itu sedangkan jalan yang mahu ditukar itu merupakan nama besar dalam sejarah Melayu dan pembukaan Kuala Lumpur sendiri.

“Saya tiada halangan nak namakan jalan di Kuala Lumpur sebagai Jalan Palestine, tanda sokongan KL kepada perjuangan pembebasan Al-Quds.

“Namun saya mahukan penjelasan kenapa pilih tukar nama Jalan Raja Laut, nama besar sejarah Melayu dan KL.

“Kenapa tak tukar nama Inggeris seperti Jalan Stonor, Jalan Conlay, Jalan Cochrane dan lain-lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette