SHAH ALAM – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor semalam mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) seorang lelaki yang dipercayai hanyut selepas bot yang dinaiki disyaki kehabisan minyak di perairan Pintu Gedung, pada Khamis lepas.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim dalam kenyataan berkata, operasi itu yang dikoordinasikan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru diaktifkan pada 12.30 tengah hari semalam dan disambung 7 pagi tadi bagi mencari Md Shamsuddin Mohamed Shari, 46 tahun.

Katanya, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga telah ditubuhkan di Jeti Pasukan Polis Marin, Pelabuhan Klang, dekat sini.

Mohammad Rosli berkata, lelaki itu dipercayai hanyut bersama bot fiber yang dinaiki dalam perjalanan dari Pulau Ketam ke kapal dagang LILA BHAVNAGAR untuk menghantar dokumen serta passport kru, bagaimanapun bot tersebut telah kehabisan minyak sekitar 6 petang pada 24 Februari lepas.

Beliau berkata, usaha pencarian terlebih dahulu dilakukan oleh rakan mangsa, namun bot yang berwarna putih hijau itu tidak ditemukan hingga kini.

“Sektor pencarian operasi CARILAMAT hari ini merangkumi keluasan kawasan 85 batu nautika persegi dari Pulau Ketam hingga kawasan Pulau Carey. Setakat ini, APMM masih meneruskan usaha pencarian mangsa.

“APMM meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam,” katanya. – Bernama