PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir diajak untuk berdialog dalam sebuah forum bagi mengupas isu berkenaan kekayaan anak masing-masing.

Forum yang dianjurkan oleh Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, akan memberikan surat jemputan rasmi kepada kedua-dua tokoh tersebut dalam masa terdekat.

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, forum sama yang pernah dianjurkan sebelum ini, merupakan satu-satunya platform terbaik untuk Najib dan Mahathir menjawab persoalan rakyat daripada kedua-dua penyokong.

“Untuk memastikan bahawa rakyat Malaysia sendiri boleh mendapatkan pelbagai jawapan, kami kepimpinan Armada mencadangkan satu forum dan dialog terbuka iaitu forum Nothing to Hide.

“Kami bukan sahaja mengajak, tapi turut mencabar bukan sahaja Tun Mahathir, tetapi Datuk Seri Najib juga untuk menjawab soalan-soalan kritikal yang datang daripada rakyat Malaysia dan media.

“Di situlah (nanti) kita akan lihat jawapan-jawapan daripada bukan saja daripada Tun Mahathir, tetapi juga dariapda DS Najib Razak,” tambah beliau.

Berkenaan kehadiran Najib, pihak Armada akan memberi masa dua minggu kepada Pejabat Perdana Menteri untuk memberi maklum balas kepada surat jemputan yang akan diserahkan dalam masa terdekat.

Sekiranya gagal mendapat maklum balas atau pengesahan ketidakhadiran Najib, forum tersebut akan tetap dijalankan dalam masa sebulan daripada daripada sekarang. – MalaysiaGazette