Armand Azha

KUALA LUMPUR – Calon jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menawarkan 10 penambahbaikan sayap parti itu jika diberi peluang menerajui pergerakan berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, antara penambahbaikan itu ialah penaziran kekuatan Pemuda Bahagian setiap tiga bulan sekali dan melaksanakan program bersepadu di bahagian secara berkala.

Katanya, beliau juga akan mewujudkan Koperasi Pemuda Malaysia dan di setiap bahagian untuk aktiviti ekonomi mampan, di samping meningkat jalinan hubungan dengan institusi berdaftar melibatkan pendidikan formal dan tidak formal termasuk kemahiran.

“Penambahbaikan juga turut menyediakan roadmap dari jalanan ke glokal untuk anak muda berpotensi selepas melalui proses pendedahan dan timbangan ilmu dengan kerjasama agensi kerajaan.

“Mewujudkan institusi Pemikir Muda dari kalangan korporat muda untuk memimpin kemajuan industri desa dan bandar anak muda setiap bahagian dan cawangan serta dana khas anak muda yang dikumpul untuk bantuan segera Pemuda.

“Saya juga merangka untuk mewujudkan semula Akademi Kapten Hussien bagi non partisan orang muda yang hendak tahu mengenai hala tuju UMNO, selain melahirkan tokoh muda berwibawa kental dan memperjuangkan hak bangsa Melayu bercakap benar serta ampuh,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, semalam.

Armand Azha menegaskan, paling utama dalam penambahbaikan itu ialah persediaan gerak kerja ke arah PRU16.

Katanya, jika diberi mandat, beliau juga akan menjalakan tanggungjawab hakikinya bersama barisan kepimpinan Pemuda mempertahankan parti daripada apa jua serangan pihak musuh dan memastikan laungan Hebatkan Pemuda difahami di seluruh peringkat.

Jelas beliau, Hebatkan Pemuda akan lebih dinamik dan progresif tanpa meninggalkan asas kekuatan UMNO.

“Kembalikan perjuangan yang moderate yang diterima oleh rakyat Malaysia dan Hebatkan Pemuda ini pasti menerapkan semangat Harimau Perjuangan UMNO yang berani, digeruni, ikhlas dan dihormati oleh parti mahupun pihak lawan,” ujarnya. – MalaysiaGazette