Dalam tatacara pengurusan aset alih kerajaan, Ismail Sabri ternyata tidak melakukan kesalahan kerana bidang tugas rasmi Perdana Menteri dengan menggunakan aset kerajaan  termaktub dalam Pekeliling Perbendaharaan Malaysia.- Gambar FB.

KUALA LUMPUR – Di sebalik penyebaran gambar-gambar lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang didakwa menyalahgunakan aset kerajaan, rakyat perlu tahu penggunaannya dibolehkan bagi tujuan rasmi.

Dalam tatacara pengurusan aset alih kerajaan, Ismail Sabri ternyata tidak melakukan kesalahan kerana bidang tugas rasmi Perdana Menteri dengan menggunakan aset kerajaan  termaktub dalam Pekeliling Perbendaharaan Malaysia.

Jelas dinyatakan dalam tatacara itu, pesawat milik kerajaan Persekutuan adalah untuk tujuan rasmi sahaja, bagi menguruskan hal-hal berkaitan negara dan juga urusan perniagaan berkaitan negara.

“Di bawah 2.4 Penggunaan, Penyimpanan Dan Pemeriksaan, Penggunaan Aset Alih hendaklah mematuhi peraturan berikut:- 2.1 Bagi tujuan rasmi sahaja; 2.2 Mengikut fungsi sebenar seperti yang terdapat dalam manual/ buku panduan pengguna,” demikian mengikut Pekeliling Perbendaharaan Malaysia (Tatacara Pengurusan Aset Alih Kerajaan).

Sebelum ini, Ismail Sabri dikritik hebat pemimpin Pakatan Harapan dan pengguna media sosial selepas beberapa gambar tersebar menunjukkan beliau dan gerombolan pemimpin UMNO menaiki kapal terbang rasmi beberapa jam selepas beliau memulakan tugas di Pejabat Perdana Menteri semalam.

Difahamkan, Ismail Sabri menaiki kapal terbang ke Kedah pada Isnin lalu dalam program lawatan mangsa banjir.

Gambar-gambar yang tular itu menunjukkan selain Ismail Sabri beberapa pemimpin UMNO turut berada dalam jet itu seperti bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Rahman; Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan beberapa lagi individu.

Oleh itu, ramai pihak mempersoalkan mengapa banyak individu yang mengiringi Ismail Sabri dalam jet peribadi tersebut.

Malah ada yang mengecam sikap pemimpin UMNO yang tidak sensitif terhadap kesusahan ekonomi yang dihadapi orang ramai ketika ini.

Antara yang mengecam tindakan foto yang tersebar itu adalah Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar.

Untuk rekod, beberapa pemimpin negara sebelum ini dilihat menggunakan jet kerajaan bagi kegunaan peribadi.

Umpamanya, bekas Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menaiki pesawat milik kerajaan untuk ke majlis rumah terbuka Aidilfitri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diadakan di Kulim, Kedah.

Majlis itu diadakan pada Jun 2019 yang turut dihadiri Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas timbalan presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Malah bekas Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak juga pernah menggunakan jet peribadi Perdana Menteri untuk pergi ke beberapa destinasi di Australia.

Ia juga didakwa dilakukan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah yang membawa suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga untuk ke Istana Kelantan pada Mei 2018. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Rakyat bukan pertikaikan PM naik pesawat kerajaan..beliau mmg berhak…yg rakyat pertikaikan ialah kenapa yg bukan PM mcm Tajudin, MP Kuala Kurau dan ahli2 politik yg bukan menteri kabinet dan bukan kakitangan kerajaan pun naik sekali?? Itu yg rakyat tanya? Lepas tu kau kaitkan plak dgn orang lain pun buat..pembangkang pun buat..habis tu kalau pembangkang makan rasuah? PM pun boleh lah sebab Pdmbangkang boleh? Aku tak faham mcm mana akhbar ni boleh hire wartawan bebal mcm ko ni laa..memalukan MG jaa

    • org yg comment pun bebal jugak. Itu la privilege PM. Atas kapasiti dia sebagai PM, dia boleh diiringi oleh sesiapa pun. Tak semestinya MP, family pun boleh jugak.
      Agong dah cakap.. berpolitik la cara sihat.

Comments are closed.