Muhammad Irfan tegur Syed Saddiq tidak ambil cakna masalah atlet olahraga seperti beliau.
Muhammad Irfan tegur Syed Saddiq tidak ambil cakna masalah atlet olahraga seperti beliau.

KUALA LUMPUR – Atlet lontar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin membuat kejutan apabila dengan lantang menegur dan mempersoalkan misi serta visi Kementerian Belia dan Sukan dalam membuat rombakan jurulatih bagi acara olahraga.

Beliau melontarkan pertanyaan itu kepada Menteri, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi hantaran dalam laman Twitternya berhubung tindakan kementerian membubarkan Program Podium dan menamatkan serta merta kontrak jurulatihnya, Frank Petrovic.

Petrovis adalah jurulatih lempar cakera yang membimbing Muhammad Irfan sehingga berjaya mencipta nama pada Sukan Asia 2017 dengan memunggut pingat perak.

“Hanya ingin tanya kamu (Syed Saddiq), mula-mula kamu bubarkan Program Podium, kemudian jurulatih saya ditamatkan kontrak serta merta selepas saya berjaya memecahkan rekod kebangsaan sebanyak 13 kali.

“Hasil latihan Petrovic juga saya mendapat pingat perak sebanyak tiga kali di Sukan Asia dan kami bersama selama enam tahun dengan turut melalui pengalaman pahit apabila separuh daripada elaun saya dipotong,” katanya.

Katanya, beliau kini tidak mempunyai jurulatih untuk persiapan menghadapi Sukan Asia dan pergi ke pusat latihan menggunakan perbelanjaan sendiri termasuk tambang penerbangan yang sudah dibeli.

Menurut Muhammad Irfan, tindakan kementerian itu dan sikap berdiam diri menterinya, membuatkan beliau dalam keadaan tidak menentu, termasuk perancangannya untuk menjalani latihan di luar negara tidak diluluskan.

“Sila jelaskan kepada saya, adakah ini (misi dan visi) yang YB (Syed Saddiq) maksudkan dengan #youthpower? Apakah misi dan visi anda dalam sukan ini sebenarnya?” soal beliau.

Sebelum ini, Ketua Jurulatih Skuad Olahraga negara, Zainal Abas mengakui Muhammad Irfan antara harapan utama Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menyumbangkan pingat pada Sukan Asia 2018 di Indonesia yang berlangsung pada 18 Ogos hingga 2 September lalu.

Untuk rekod, pada 15 September lalu, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad  dilaporkan berkata, Program Podium perlu dibubarkan selepas gagal berada dalam kalangan 10 terbaik Sukan Asia dan Sukan Momanwel 2018.

Beliau tidak bersetuju dengan idea mengekalkan Program Podium sementara sukan lain yang tidak dipertandingkan dalam Sukan Olimpik bakal digugurkan.

Mazlan dilaporkan berkata, beliau bimbang persatuan sukan yang tidak lagi berada dalam Program Podium akan berkecil hati, sedangkan mereka telah menjadi penyumbang utama pingat negara dalam Sukan Asia atau Sukan Komanwel. – MalaysiaGazette