Maskot A&W berdiri di hadapan restoran di Taman Tasik Seremban. foto Bernama

SEREMBAN – A&W Malaysia Sdn Bhd (A&W) menyasarkan hasil jualan sebanyak RM200 juta menerusi lebih 70 cawangannya pada tahun ini berbanding lebih RM100 juta yang dicatatkan pada 2021.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ang Choon Yan @ George Ang berkata, sambutan menggalakkan daripada pelanggan membolehkan jualan pada 2021 meningkat sebanyak 15 peratus daripada jualan pada 2020.

“Walaupun negara berdepan pandemik Covid-19, namun kita bernasib baik kerana banyak pembelian dilakukan secara penghantaran ke rumah, jadi keuntungan yang kita terima masih positif.

“Malah kita berjaya mencatatkan jualan tertinggi pada Dis tahun lepas iaitu RM13 juta dalam masa sebulan iaitu rekod terbaik dalam tempoh 15 tahun. Setiap bulan memang kita sasar keuntungan sebanyak RM13 juta hingga RM15 juta,” katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan semula pandu lalu A&W Seremban dan kedai kopi Jamaica Blue yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di sini hari ini.

Ang yang juga Pengarah Inter Mark Resources berkata, pihaknya juga mensasarkan untuk mengembangkan cawangan restoran A&W kepada lebih 150 cawangan termasuk di Sabah dan Sarawak menjelang 2025 melibatkan kos bernilai RM75 juta.

“Pada 2022 kami akan membuka 25 lagi cawangan restoran makanan segera ini, jadi pada 2025 kami berharap akan ada lebih 150 cawangan di seluruh negara,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya akan turut melabur untuk memperkembangkan beberapa jenama di bawah payung Inter Mark Resources di negara ini termasuk Jamaica Blue dan Subway.

Menurutnya, pembukaan kafe Jamaica Blue yang pertama di cawangan A&W Seremban ini juga merupakan antara kerjasama strategik syarikat untuk menawarkan kepelbagaian kepada pelanggan.

Dalam pada itu beliau berkata, semua cawangan baharu A&W Malaysia adalah berkonsepkan moden-retro bagi menggabungkan aura nostalgia sekali gus sebagai tarikan baharu terutama kepada golongan muda termasuk di cawangan Seremban yang merupakan restoran A&W tertua di negara ini. – MalaysiaGazette