Penduduk, Abdullah Ahmad, 48, megangkat bekas berisi air selepas mengambil bekalan air yang telah disediakan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) setelah penduduk sekitar mengalami gangguan bekalan air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Flat PKNS, Seksyen 18 Shah Alam, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 06 SEPTEMBER 2020.

PERSATUAN Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) sangat prihatin dengan kekerapan insiden pencemaran dan kesan terhadap perkhidmatan air serta kekurangan profesionalisme dan etika yang serius dari agensi kerajaan yang terlibat. Pada 07 September 2020 (sebelum tengahari), AWER telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, anggota-anggota kabinet dan Ketua Setiausaha Negara mengenai beberapa penyelesaian segera (menjelang tahun ini) dan penyelesaian jangka panjang (dalam Rancangan Malaysia ke-12) untuk tindakan segera mereka.

 TINDAKAN SEGERA 1: EQA DIPINDA UNTUK MEMBENARKAN TUNTUTAN KERUGIAN

Pindaan segera terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (EQA) dengan menambahkan seksyen baru mesti dilakukan pada persidangan parlimen yang akan datang untuk membolehkan tuntutan kerugian oleh pihak-pihak yang terjejas. Seksyen ini akan membolehkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat pengiraan kehilangan pendapatan dan kos tambahan yang ditanggung oleh pihak-pihak yang terlibat semasa kejadian pencemaran. Klausa pemboleh ini juga boleh membenarkan JAS untuk membekukan aset pesalah kepada jumlah wang yang mereka berhutang berdasarkan kes yang dibawa oleh JAS.

 Pada masa ini, denda dan tuntutan kos pembersihan adalah sangat kecil berbanding dengan kos pencemaran sebenar. Oleh itu, ia tidak menghalang pesalah daripada melakukan kesalahan. Dengan cadangan pindaan tersebut, pesalah perlu membayar denda, kos pembersihan dan tuntutan dari pihak-pihak yang terjejas yang mungkin berjumlah beberapa juta. Setelah seksyen baru diluluskan di parlimen, JAS dapat menetapkan mekanisme tuntutan terperinci melalui kaedah dan peraturan. Sekiranya semua dilaksanakan dengan sepenuhnya, kami yakin seksyen baru ini dapat diaktifkan pada 1 Januari 2021.

 TINDAKAN SEGERA 2: MEMPERBAIKI KAEDAH SIASATAN

Rantai bekalan pesalah boleh membawa kita kepada pesalah yang lebih besar atau  pesalah yang sebenar. Kaedah penyiasatan JAS mesti diperbaiki agar insiden seperti pencemaran Pasir Gudang tidak berlaku di mana pesalah sebenar tidak diketahui.

PENYELESAIAN JANGKA PANJANG 1: TARIF AIR MENTAH BERDASARKAN KUALITI AIR MENTAH

Tarif air mentah berdasarkan kualiti air mentah harus dilaksanakan untuk memastikan kerajaan-kerajaan negeri menerima pendapatan yang setara semasa melindungi kawasan tadahan air untuk menjamin sumber air mentah termasuk air mentah rentas sempadan. Di samping itu, melindungi kawasan tadahan air akan memastikan kualiti air mentah lebih baik dan mengurangkan kos rawatan air yang akan diterjemahkan kepada tarif air yang adil dan berpatutan. Penentuan tarif ini harus diketuai oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

PENYELESAIAN JANGKA PANJANG 2: PANGKALAN DATA BAHAN KIMIA  TERTUTUP

Insiden pencemaran meningkat secara mendadak dan adalah penting bagi Kerajaan Persekutuan membangunkan sistem pangkalan data yang sesuai untuk memantau pergerakan bahan kimia di Malaysia supaya rekod adalah tersedia untuk mencegah pembuangan sisa secara haram. Semua bahan kimia yang berbahaya dan menghasilkan sisa yang berbahaya (selepas diproses) mesti direkodkan dalam sistem pangkalan data. Jabatan Alam Sekitar (JAS) boleh melakukan audit berkala dan menetapkan had masa berdasarkan kapasiti pemprosesan untuk mengesan kemungkinan kelewatan dalam pengendalian sisa. Pangkalan data ini juga akan membantu JAS untuk mencari suspek pesalah sekiranya berlaku pembuangan sisa secara haram. Ini akan mempercepatkan tindakan JAS untuk menangkap pesalah sekiranya berlaku pembuangan sisa secara haram.

PENYELESAIAN JANGKA PANJANG 3: KERAJAAN TEMPATAN HARUS MEMBANGUNKAN MEKANISME UNTUK MENGESAN JENIS SISA YANG DIHASILKAN

Kerajaan tempatan mesti membantu dalam proses pengesahan data untuk pangkalan data kimia. Dengan latihan dari JAS, pegawai pihak berkuasa tempatan dapat membantu menentukan jenis sisa yang dihasilkan oleh entiti perniagaan (pepejal, cecair atau gas). Zon sasaran terpenting adalah untuk semua saliran dan sungai yang menuju ke sungai utama yang menjadi sumber air mentah untuk perawatan air minuman dan aktiviti pertanian yang mesti dijalankan antara tahun 2021 dan 2022. Ini diikuti oleh 2 fasa lagi untuk merangkumi semua sungai menjelang tahun 2025.

PENYELESAIAN JANGKA PANJANG 4: STANDARD PELEPASAN AIR SISA BERASASKAN BEBAN PENCEMARAN

Peningkatan kepadatan penduduk dan aktiviti ekonomi telah meningkatkan beban pencemaran ke sungai bertahun-tahun. Walaupun standard pelepasan air sisa oleh JAS diikuti dengan pematuhan tertinggi, ia tidak akan dapat mengurangkan masalah pencemaran air. Ini kerana daya tampung sungai terhadap bahan pencemar adalah terhad dan menjadi lebih rendah pada musim kemarau. JAS mesti membangunkan standard pelepasan air sisa berasaskan beban pencemaran untuk memulakan pembalikan pencemaran (pollution reversal). Penyelesaian ini adalah kesinambungan dari penyelesaian jangka panjang 2 dan 3. Ia akan dilaksanakan dalam 4 fasa antara tahun 2023 dan 2030.

Ini dapat membantu memastikan kawasan tadahan air yang sedia ada ang terletak di hulu sungai dapat dilindungi pada jangka masa panjang. Kaedah pembalikan pencemaran ini dapat juga mewujudkan kawasan tadahan air yang baru di pertengahan dan hilir sungai.

PENYELESAIAN JANGKA PANJANG 5: PENCEMARAN DAN KESIHATAN MANUSIA

Peningkatan pencemaran juga memberi kesan kepada kesihatan manusia. Bahan pencemar memasuki badan manusia melalui kulit, pengingesan (makanan dan air) dan pernafasan (udara). Tahap kesan kepada kesihatan adalah berbeza-beza berdasarkan jenis pencemar, kekerapan dan dos. Kanser juga sering dikaitkan dengan pelbagai jenis bahan pencemar. Oleh itu, kerajaan persekutuan mesti menjadikan kes barah yang dikesan sebagai kes wajib dilaporkan (melalui kemudahan kesihatan awam dan swasta). Begitu juga, mesti ada pengambilan sampel makanan wajib tahunan (makanan mentah dan diproses) untuk mengesan potensi bahan pencemar memasuki rantai makanan kita. Kami telah menggariskan beberapa bidang fokus untuk memastikan maklumat yang boleh dipercayai untuk membantu kerajaan.

 AWER menggesa Perdana Menteri dan anggota-anggota kabinet mempertimbangkan dan melaksanakan cadangan-cadangan kami demi kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang. Kemahuan untuk menyelesaikan masalah pencemaran yang menimbulkan kerisauan di negara kita adalah di tangan Kerajaan Persekutuan. Kami menantikan pengumuman yang baik daripada Perdana Menteri bagaimana Kerajaan Persekutuan akan melindungi rakyat dan ekonomi kita daripada serangan pencemaran secara besar-besaran.

Piarapakaran S., Presiden AWER