Datuk Mohd Azizulhasni Awang

KUALA LUMPUR – Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou menerima tamparan selepas jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terpaksa menarik diri daripada temasya itu yang akan membuka tirainya, Sabtu ini.

Pelumba berusia 35 tahun itu mengumumkan keputusan berkenaan pada satu sidang media khas di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi.

Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman berkata, keputusan dibuat selepas dia mengalami kecederaan di bahagian kaki dan pinggul kiri susulan kemalangan yang dialaminya ketika sesi latihan di Velodrom Nasional Nilai, Jumaat lalu.

“Dukacita dimaklumkan saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Sukan Asia. Saya mohon maaf kepada kontinjen negara dan seluruh rakyat Malaysia yang berharap saya beraksi di sana Hangzhou.

“Pada mulanya kecederaan saya tidak serius termasuklah selepas menjalani ujian imbasan dengan Institut Sukan Negara (ISN) tetapi selepas empat hari saya berasa sakit di bahagian badan.

“Jadi, selepas perbincangan dengan ketua jurulatih John Beasley kami memutuskan untuk menarik diri daripada Sukan Asia kali ini bagi memberi fokus kepada Sukan Olimpik Paris tahun depan,” katanya memetik laporan BH Online.

Jumaat lalu, Azizulhasni mengejutkan peminat sukan tempatan apabila berkongsi rakaman video kemalangan dialaminya ketika sesi latihan di Velodrom Nasional Nilai.

Rakaman video itu menunjukkan dia terjatuh ketika sedang memecut bagi mengejar motosikal dihadapannya selepas basikalnya mengalami kegagalan mekanikal.

Di Hangzhou, Azizulhasni yang diletakkan sebagai sandaran Malaysia bagi memenangi pingat emas sepatutnya akan menyertai dua acara iaitu pecut individu dan keirin.

Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Azizulhasni berjaya membawa pulang satu pingat emas menerusi acara pecut selain turut meraih pingat perak (pecut berpasukan) dan gangsa untuk acara keirin.

Sepanjang penampilan di Sukan Asia, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu sudah mengumpul dua pingat emas menerusi kejayaan pada 2010 di Guangzhou dalam acara keirin dan pecut di Jakarta-Palembang 2018. – MalaysiaGazette