Skuad Harimau Malaya B-23.

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menggesa skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan untuk bangkit mencipta kejutan pada pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Thailand, bulan depan.

Hamidin berkata, barisan pemain Harimau Muda telah menunjukkan peningkatan dan beliau percaya Malaysia mampu menjadi pasukan yang baik di rantau ini, sekiranya anak buah E. Elavarasan itu meneruskan fokus.

Beliau juga mengingatkan pemain supaya tidak memandang rendah keupayaan pasukan lawan dalam saingan Kumpulan H yang terdiri daripada pasukan tuan rumah, Bangladesh dan Filipina.

“Sebagai pemain kebangsaan, anda perlu memberikan lebih daripada 100 peratus. Apabila beraksi demi negara, anda semua harus berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

“Peluang untuk mewakili Malaysia tidak harus disia-siakan dan saya berharap anda semua mampu melakar sejarah di Chonburi,” katanya dalam hantaran Facebook FAM hari ini.

Terdahulu, Hamidin meluangkan masa bertemu barisan pemain dan pegawai skuad B-23 kebangsaan pada hari pertama kem latihan pusat, menjelang pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2023 di sini, hari ini.

Pada kempen kelayakan itu, Malaysia akan memulakan saingan menentang Bangladesh pada 6 Sept, diikuti aksi bertemu Filipina (9 Sept) sebelum berdepan Thailand pada 12 Sept.

Kesemua juara kumpulan bersama empat naib juara kumpulan terbaik akan layak ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar yang turut menawarkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Minggu lepas, Harimau Muda menamatkan Kejohanan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2023 di tempat keempat, sekali gus gagal mencapai sasaran final yang ditetapkan barisan pengurusan. – BERNAMA