KULAI – Tumpahan bahan kimia hitam pekat dan berbau busuk di Kampung Baru Sengkang, di sini, didapati berpunca dari sebuah stor simpanan haram.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Famey Yusoff berkata, bahan kimia itu dipercayai dibawa dari luar sebelum disimpan di stor haram itu.

Tambah beliau, pihaknya sedang mengenal pasti jenis bahan kimia yang tumpah itu hingga menyebabkan dua penduduk dilaporkan mengalami simptom pening dan loya.

” Pihak bomba telah pun mendapat aduan jam 8.30 malam semalam dan pihak bomba telah menghantar pasukan Hazmat.

“Pada pagi ini pihak bomba telah memaklumkan pada Jabatan Alam Sekitar dan JAS telah pun mengadakan siasatan secara terperinci dan kalau kita lihat pegawai penyiasat alam sekitar turun ke padang,” katanya ketika meninjau lokasi kejadian, di sini, hari ini

Dalam pada masa sama, tambah beliau, pihak majlis perbandaran telah menyekat pencemaran daripada terus mengalir ke sungai yang terletak berdekatan dengan lokasi kejadian.

Ekoran kejadian itu, menurut Famey, pihaknya juga akan menutup kawasan stor haram itu kerana pemilik tanah tidak mempunyai kebenaran menyimpan bahan kimia.

Ujarnya, JAS sudah mengambil sampel tumpahan bahan kimia untuk dianalisismanakala tindakan akan diambil terhadap tuan tanah mengikut Akta 127 Akta Kualiti Alam sekeliling 1974 kerana pelupusan bahan kimia secara haram.

Sementara itu, Famey berkata, JAS Johor memasang ‘oil boom’ sebagai langkah mengekang tumpahan kimia berkenaan memasuki Sungai Sengkang dan Sungai Skudai.

Katanya, pemantauan akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan tiada kebocoran pada empangan atau perangkap yang dibina Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kulai. – Malaysiagazette