Dua pengawal keselamatan warga Nepal sehingga diserang gejala seperti sawan dalam kejadian di Pulau Tikus di sini Sabtu lalu, selepas minum kopi berperisa durian yang dipercayai dicampur sejenis bahan asing dipercayai dadah.

GEORGE TOWN – Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan kopi pracampuran yang diminum dua lelaki Nepal sehingga menyebabkan mereka mengalami gejala letih yang teruk dipercayai mengandungi bahan asing disyaki sejenis dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata berdasarkan ujian analisis sampel kopi yang dijalankan pegawai teknologi makanan, makmal keselamatan dan kualiti makanan Pulau Pinang mendapati terdapat kandungan dadah namun belum dapat dipastikan jenis apa.

“Hasil analisis sampel paket kopi yang diberikan seorang wanita tidak dikenali kepada dua pengawal keselamatan itu juga menunjukkan bahawa paket itu telah dibuka dan dilekatkan semula kerana bahagian bawah paket itu menunjukkan kesan koyakan.

“Berat paket yang dilekatkan semula itu juga menunjukkan penambahan lebih 10 gram(g) daripada berat asal iaitu 40g kepada 50g dan dalam serbuk kopi itu mengandungi bendasing berwarna hijau berbeza dengan paket asal,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata sampel kopi itu juga dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi mengenal pasti jenis sebenar dadah yang dicampur dalam paket tersebut.- BERNAMA

Kepala pusing laju selepas minum kopi campuran