Tengku Razaleigh Hamzah
Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – Pemimpin UMNO perlu memperbaiki diri sendiri daripada sebarang penyalahgunaan kuasa dan kelalaian menjalankan tanggungjawab kepada rakyat sebelum kembali menagih sokongan mereka.

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah berkata, walaupun pihaknya mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya lalu, namun rakyat masih sanggup bersama parti itu.

“Ada orang berkata kepada saya lepas kita kalah baru-baru ini, dia kata ini mungkin atas kehendak tuhan. Itu kita tak boleh nafikan

“Pembangkang tak boleh dapat kuasa ini kalau tuhan tidak mengizinkan. Barangkali benar, tuhan nak menginsafi kita bahawa kita sudah terlampau lama berkuasa, kita sudah lama menyalah guna kuasa…barangkali.

“Sudah sampai masa kita perlu mengambil iktibar daripada segala kelemahan dan kesalahan itu dan baiki kedudukan, balik ke pangkal jalan, rujuk kepada Perlembagaan parti dan negara kita, agar rakyat dapat mendekati kita semula,” katanya dalam Wacana Dilema Melayu Pasca PRU14 di Kelab Sultan Sulaiman, di sini, malam tadi.

Tengku Razaleigh berkata, kekalahan teruk UMNO pada PRU14 lalu kerana perpaduan rakyat bersama parti itu dan Barisan Nasional tidak sekuat ketika menuntut kemerdekaan dan menentang komunis.

“Kita mengalahkan komunis kerana perpaduan yang wujud dan begitu kuat (ketika itu). Pelbagai ancaman dan ugutan dilakukannya.

“Oleh kerana rakyat mahu merdeka, hidup dengan pentadbirannya sendiri, kita berjaya kerana tiada sesiapa boleh mengatasi kemahuan rakyat.

“Bakti UMNO dan rakan-rakan (Perikatan) telah didokong oleh rakyat, bukan saja ahli-ahli tetapi oleh semua pihak yang hendak kepada kemerdekaan.

“Mungkin kita kalah dalam pilihan raya lepas oleh kerana perpaduan itu tak sekuat kita rasai masa kita menghadapi musuh negara dalam tahun 60-an dahulu,” katanya.

Katanya, beliau mengakui menginsafi kekalahan teruk itu kerana rakyat masih mahu bersama UMNO dengan syarat mereka memperbaiki diri segera.

“Lepas kita kalah saya dikerumuni rakyat bertanyakan kenapa kita kalah. Kesimpulannya rakyat nak bersama kita, rakyat sanggup bersama kita, kita kena baiki diri kalau kita nak kepada sokongan mereka.

“Kita mesti baiki diri kita sebagaimana kita lakukan sebelum ini (zaman sebelum merdeka dan penentangan komunis),” katanya. – MalaysiaGazette