Mohd Nazri Nazaruddin, didenda RM3,100 di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah melemparkan bungkusan air kencing dan bekas minyak hitam ke rumah jirannya pada Oktober dan Disember lalu.

MELAKA – Gara-gara melemparkan bungkusan air kencing dan minyak hitam ke rumah jirannya, seorang penganggur didenda RM3,100 di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.

Hukuman ditetapkan selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan itu Oktober dan Disember lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Nazri Nazaruddin, 41, yang membuat pengakuan itu sebaik dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu telah berkelakuan menghinakan dengan cara melemparkan satu bungkusan cecair yang dipercayai mengandungi air kencing ke arah rumah milik Hashidah Hassan, 46, dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanannya.

Perbuatan itu dilakukan pada kira-kira pukul 9 pagi 18 Oktober lalu di No 922-1, KM5 Bukit Baru dalam Daerah Melaka Tengah yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955. Sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100.

Tertuduh turut didapati melakukan khianat terhadap rumah sama dengan cara membaling satu bekas minyak hitam berniat menyebabkan kerosakan kepada harta dengan nilai RM150 iaitu melebihi RM25 pada pukul 11.40 pagi 7 Disember lalu.

Sabit kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan boleh dipenjara sehingga dua tahun dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal dengan alasan perbuatan dilakukan terhadap jiran tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun dalam rayuannya memohon hukuman setimpal dengan alasan tidak sedar ketika melakukan perbuatan itu.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah menetapkan tertuduh didenda RM100 bagi kesalahan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 atau lima hari penjara jika gagal bayar.

Bagi kesalahan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, mahkamah turut mengarahkan tertuduh didenda RM3,000 atau dua bulan penjara jika tidak dijelaskan. – MalaysiaGazette.