Suasana sesak menjelang hari raya di Bangi Sentral, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 11 JUN 2017
BANGI – Biarpun sinonim dengan gelaran bandar ilmu, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Bandar baru Bangi kini terserlah dengan sudut pandang berbeza – bandar fesyen.
Suasana sesak menjelang hari raya di Bangi Sentral, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 11 JUN 2017
Bandar kedua terbesar di Selangor ini kini bagaikan berubah landskapnya apabila ribuan penggemar fesyen terkini mulai membanjiri bandar ini.
Boleh dikatakan, Bangi kini menjadi ‘lubuk fesyen’ terutamanya kepada golongan muslimah.
Terletak di Seksyen 9, Bangi Sentral Pusat Bandar seakan menjadi destinasi wajib bagi para penggemar fesyen.
Norizah Mat, foto HAZROL ZAINAL 11 JUN 2017.
Bagi usahawan dari Kuantan, Norizah Mat, 43, destinasi ini dipilih kerana menempatkan lebih 50 butik yang menawarkan pelbagai fesyen terkini.
“Semua yang kita perlukan dalam satu tempat yang besar, lebih memudahkan kami pelanggan untuk datang dan beli belah di sini.
“Cuma tempat letak kereta sahaja yang perlu dibanyakkan, sebab ramai yang datang sini dan cepat sesak. Apa yang terbaru boleh didapati dekat sini dengan harga yang berpatutan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Butik penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza turut menjadi perhatian di Bangi Sentral, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 11 JUN 2017
Sememangnya, Bandar Baru Bangi mengalami perubahan drastik yang menguntungkan ramai pihak.
Menurut pengurus butik Muslimah Clothing.com, Siti Nuraishah Mat Puji, 38, segalanya bermula sejak lima tahun lalu apabila turut mendapat sambutan hangat daripada peminat fesyen daripada Singapura malah Brunei.
Pengurus Butik Muslimah Clothing.Com, Siti Nur Aishah Mat Puji
“Dari pandangan orang luar memang menganggap Bandar Baru Bangi ini merupakan bandar fesyen. Sejak lima tahun lalu, ia baru berkembang sebagai bandar fesyen. Trend itu semakin meluas dan orang luar terutamanya dari Singapura, Brunei pun datang kesini untuk mencari produk muslimah.
“Permintaan sangat menggalakkan, sebab kita terima ramai pelanggan baru setiap hari. Kebanyakkan pelanggan yang datang ke sini mencari pakaian muslimah yang terkini dan penuhi citarasa mereka,” kata Nuraishah yang sudah lima tahun bekerja di Bangi Sentral.
Populariti trend jubah dan hijab dengan gaya kontemporari menerima sambutan hangat dikalangan pelanggan pelbagai lapisan.
Pembantu Butik Cattleya, Maizatul Akma Abdl Rahman. foto HAZROL ZAINAL, 11 JUN 2017.
Dari jenama terkemuka hingga produk kecil-kecilan semuanya boleh didapati di sini.
“Sekarang semua butik ternama ada di Bandar Baru Bangi sekarang, jadi tempat ini semakin jadi tumpuan. Ramai pelanggan yang kata Bandar Baru Bangi semakin sesak disebabkan ramai yang turun ke sini untuk beli belah.
“Ada yang dari Johor, Singapura, Brunei, malah Shah Alam pun turun ke sini,” menurut pembantu butik Cattleya, Maizatul Akma Abdul Rahman, 28.
Selesa dan mudah diakses antara faktor pemilihan seorang pelajar, Mohd Faizal Md. Husin 34, untuk datang ke sini, malah ada yang lebih memilih Bangi sebagai tempat membeli belah berbanding Jalan TAR dan Bukit Bintang.
Mohd Faizal Md. Husin

“Kalau nak ikutkan kebanyakan butik ini menggunakan artis sebagai duta barangan mereka, jadi saya rasa Bandar Baru Bangi ini sememangnya layak digelarkan bandar fesyen.

“Saya datang dari Seremban, jadi sini paling dekat untuk saya beli barangan raya terutamanya baju raya anak-anak. Kalau nak masuk KL kena fikir kesesakan jalanraya lagi, jadi lebih baik saya datang sini untuk beli belah,” ujar Faizal.
Adilah Izzati Anuar
Bagi Adilah Izzati Anuar, 18, Bandar Baru Bangi menampilkan pelbagai jenis butik jenama tempatan justeru ia sesuai untuk dikategorikan bandar ini sebagai bandar fesyen dan menjadi daya tarikan kepada muslimah dengan pelbagai pilihan.
Selain Bangi Sentral, fanatik fesyen kini dimeriahkan lagi dengan pembukaan gedung fesyen terkini – Primavalet.
Seluas 20,000 kaki persegi, ia dimiliki sepenuhnya Bumiputra Melayu yang bertindak memasarkan kesemua produk pakaian di bawah satu bumbung.
Antara butik ternama yang singgah di Primavalet antaranya Elrah Exclusive, Nur Amirah, far8byalteliaamani X Elrah Exclusive by Fattah Amin, Meylana, Sasqia by Shasya Habib, Asyalliee by Shasya Habib, Amy Search by Elrah Exclusive, Nur Aishah X Elrah Exclusive.
Nor Zalina Abdullah
Bagi seorang pengurus, Nor Zalina Abdullah, 55, pemilihan yang strategik di antara jalan keluar Bandar Baru Bangi dengan Kuala Lumpur, ia menjanjikan pengalaman baharu dalam membeli belah.
“Saya datang sini untuk cari pakaian muslimah, jadi kat sini lokasi paling sesuai untuk buat demikian, sebab kat sini banyak pilihan untuk persiapan hari raya. Sini memang bagus untuk sesiapa yang mencari pakaian muslimah dan mudah didapati.
“Harga yang ditawarkan juga munasabah dan menepati citarasa saya. Kalau untuk muslimah, lebih baik datang sini kerana terdapat pelbagai jenama dan pilihan, itu yang kami datang sini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette