Pihak bomba sedang memadamkan api bangunan berusia 100 tahun di Lebuh Pantai, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – “Saya sedang tidur selain punyai masalah deria bau menyebabkan tidak sedar bangunan yang dihuni terbakar”.

Demikian luah wanita yang ingin dikenali sebagai Ong, 50-an yang diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai daripada kebakaran bangunan yang terletak bersebelahan BBP tersebut.

Kebakaran jam 2.10 pagi itu disedari orang awam yang melalui kawasan tersebut sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak bomba.

Ong (kanan) berbual dengan Ketua BBP Lebuh Pantai, Muzzamer.

Kata Ong, dia terkejut dengan kehadiran pihak bomba di kawasan tempat tidurnya di aras bangunan tersebut sebelum dimaklumkan bangunan yang dijaganya itu sedang terbakar.

“Nasib baik balai bomba bersebelahan dan mereka sedar kebakaran berlaku, jika tidak mesti saya terbakar sama dengan bangunan ini”, katanya ringkas di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, Ketua BBP Lebuh Pantai Muzzamer Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang mendakwa terdapat kepulan asap di bangunan itu pada jam 2.14 pagi sebelum bergegas ke lokasi yang terletak hanya beberapa meter dari balai bomba.

Bangunan tersebut terletak bersebelah BBP Lebuh Pantai.

Kata beliau, hasil pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan tingkat empat bangunan berkenaan yang menjual barangan plastik dan peralatan pejabat.

“Ketika pintu dipecahkan, didapati seorang wanita sedang tidur di aras bawah bangunan dan tidak menyedari berlaku kebakaran.

“Kita buat penilaian menyeluruh bagi memastikan api dipadam sepenuhnya berikutan ia adalah bangunan lama dan hanya terdapat dua akses pintu masuk bagi kerja menyelamat dan pemadaman api.

Tingkat empat bangunan itu dijilat api.

“Kebakaran dipadamkan pada jam 3.15 pagi,” katanya.

Tambah beliau, jumlah kerugian serta punca kejadian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette