Kanak-Kanak berusia 6 tahun berstatus pelarian UNHCR mati dipukul bapa tirinya hanya kerana tidak mahu makan dan tiga suspek pemegang kad UNHCR termasuk dua wanita asing ditangkap di lokasi sama dalam kejadian pagi semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang suspek lelaki yang merupakan bapa tiri dan dua wanita warga asing yang ditahan kerana disyaki membunuh kanak-kanak berusia 6 tahun semalam direman selama tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Ampang  Jaya Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff, ketiga-tiga suspek yang merupakan pemegang kad pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu direman sehingga 18 Mei ini.

“Mereka telah ditahan semalam dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret pagi ini untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan kes.

“Polis berjaya mendapatkan kebenaran mahkamah yang mana ketiga tiga suspek berkenaan direman bermula 12 Mei hari ini hingga 18 Mei ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian semalam, seorang kanak-kanak warga asing yang memegang status kad pelarian UNHCR, mati disyaki dipukul oleh bapa tirinya hanya kerana keengganannya untuk makan makanan yang dibeli lelaki itu.

Kejadian menyayat hati itu berlaku dihadapan sebuah kedai makan, di kawasan pusat membeli belah Ampang Point, di sini pagi semalam.

Menurut beliau, dalam kejadian 9.50 pagi, bilik gerakan Polis Ampang Jaya menerima panggilan MER999 daripada seorang pengawal keselamatan wanita mengenai penemuan mayat kanak-kanak di bahu jalan di hadapan sebuah kedai makan di Ampang Point.

Kes telah diklasifikasi dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh orang dan jika sabit kesalahan ketiga-tiga suspek boleh dihukum gantung sampai mati, tambah beliau. – MalaysiaGazette

Kanak-kanak pemegang kad UNHCR mati dipercayai dipukul bapa tiri