Sebuah bas ekspres bawa penumpang dari Thailand menuju Perak terbabas di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Pendang, Kedah hari ini.

PENDANG – Pemandu serta 29 penumpang bas ekspres melalui detik cemas selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Kilometer 60 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian jam 3.20 petang itu.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.25 petang.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikerahkan ke lokasi selain dibantu BBP Jalan Raja dan Pendang.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Sebaik tiba, kita dapati bas persiaran dari Hatyai, Thailand menuju Kampar, Perak itu berada di dalam parit bahu kiri jalan selepas dikatakan terbabas.

“Kesemua mangsa berjaya keluar dengan sendiri namun ada dalam kalangan mereka mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, rawatan awal kepada mangsa, sebelum operasi ditamatkan jam 4.59 petang. – MalaysiaGazette