religion conversion Loh Siew Hong children P. Ramasamy
P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Pemimpin DAP, P. Ramasamy ditempelak kerana dikatakan tidak membuat kajian terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan berhubung isu Pulau Batu Puteh.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu seolah-olah mengakui tidak mengetahui tentang bukti terbaharu bagi menyokong tuntutan Malaysia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Bagaimanapun, katanya, terdapat tiga bukti baharu yang akan dikemukakan kepada ICJ.

“Bukti pertama adalah telegram sulit pada 1958 yang dihantar oleh Gabenor Singapura kepada setiausaha negeri bagi tanah jajahan di London yang menunjukkan beliau tidak menganggap Pulau Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh sebahagian daripada wilayah Singapura.

“Bukti kedua, laporan kejadian tentera laut pada 1958, yang dialamatkan kepada Gabenor Singapura, yang berkata, kapal tentera laut British tidak dapat membantu kapal Malaysia yang diikuti kapal perang Indonesia kerana ia ‘masih dalam perairan wilayah Johor’.

“Bukti ketiga, peta rasmi Singapura bertarikh 1962 menunjukkan perairan Singapura ‘bukan di persekitaran Pedra Branca / Pulau Batu Puteh’, ” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Dalam ruangan pendapat Malaysiakini hari ini, Ramasamy mempersoalkan kenyataan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang mempertahankan keputusan kerajaan meneruskan tindakan perundangan bagi menuntut Pulau Batu Puteh.

Ahli Dewan Undangan Negeri Perai itu berpandangan belum tentu bahawa Malaysia akan menang sekiranya rayuan tuntutan Pulau Batu Puteh di ICJ diteruskan dan tidak digugurkan pada saat terakhir oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak tidak menafikan pandangan Ramasamy itu.

“Tetapi kita pasti kalah bila tuntutan ini digugurkan oleh PH,” katanya. – MalaysiaGazette