Polis mengesahkan serpihan tulang yang dijumpai di Gua Kandu, Gopeng, Perak pada Sabtu ialah tulang manusia.

JOHOR BAHRU – Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan maut selepas kenderaan Perodua Kenari yang dinaikinya bersama tiga lagi anggota keluarga terlibat kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Shahurinain Jais berkata, Nur Auliya Inara Mohamad Nirzaudy Haiqal yang berada dalam tempat duduk bayi yang diletakkan di kerusi hadapan kereta itu, maut disebabkan kecederaan parah di kepala selain luka di badan dan kaki.

Kejadian pada 1.15 pagi itu turut mengakibatkan kecederaan parah kepada bapa dan ibu mangsa – Mohamad Nirzaudy Haiqal Abdullah, 29, dan Wan Nur Izzaty Wan Mohd Zaffar, 22, yang kini sedang dirawat di wad Zon Merah, Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Seorang kakaknya iaitu Nur Auliya Maisara, dua tahun, pula sekadar cedera ringan di kaki kiri.

Shahurinain berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika kenderaan keluarga itu sedang menuju ke rumahnya di Taman Tampoi Utama dari Stulang Laut, sebelum tiba-tiba dilanggar sebuah kereta Mercedes dari arah belakang.

“Akibat pelanggaran itu, kenderaan mereka hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan terlanggar batu pembahagi jalan sebelum berpusing sejauh 30 meter dan terbalik di tengah jalan,” kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di Unit Kecemasan HSA semasa mendapatkan rawatan.

“Ujian air kencing telah dijalankan ke atas pemandu kereta Mercedes itu dan mendapati suspek negatif semua jenis dadah.

“Namun suspek berusia 43 tahun itu tetap ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dan menambah suspek tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kemalangan terbabit. – Bernama