Warga kota mengambil kesempatan sempena cuti hujung minggu berkunjung ke Bazar Jalan TAR menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bazar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 JUN 2018.

KUALA LUMPUR – Bazar Aidilfitri di sekitar Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) akan dibuka semula pada 17 April ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan COVID-19, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

“Demi memenuhi rayuan peniaga bazar Aidilfitri, kita bersetuju bukan saja untuk benarkan bazar dibuka, tapi kita hidupkan semula bazar di tapak asal di Lorong Tuanku Abdul Rahman, mulai 17 April ini,” kata Annuar menerusi twitter rasminya hari ini.

Pada tahun 2019, tapak bazar berkenaan dipindahkan ke Jalan Raja bagi mengatasi isu berbangkit termasuk aspek kebersihan, tadbir urus dan pihak yang mengambil kesempatan mengaut untung atas angin.

Selasa lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri dibenarkan beroperasi di seluruh negara bagi tahun ini dengan mengikut SOP yang ketat.

— BERNAMA