Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad menafikan terbabit dengan gerakan One World Religion, Chrislam dan Agama Ibrahimi/Abraham.

Beliau juga berkata, dakwaan yang turut membabitkan Syeikul al-Azhar Fadhilatul Imam Al-Akbar Syeikh Dr. Ahmad Al-Tayyib itu adalah satu fitnah yang dilemparkan terhadap mereka.

“Bagi menjawab setiap pertuduhan yang dibawakan, saya juga akan menjelaskannya secara terperinci melalui siri Al-Mawaqif dalam Maktabah Al-Bakri dalam masa terdekat.

“Saya tidak akan mengambil pendekatan dalam bentuk konspirasi dan propaganda bagi menjawabnya kerana prinsip saya adalah, kejahilan perlu ditentang dengan ilmu dan akhlak,” jelas beliau.

Terdapat sebaran di laman sosial seperti Facebook dan Tiktok yang mendakwa kononnya kedua-dua pemimpin itu terlibat dengan gerakan yang memperjuangkan agenda bahawa semua agama adalah sama.

Bahan yang ditularkan di media sosial mendakwa Dr. Ahmad yang merupakan Pengerusi Majlis Hukama’ Muslimin bersama-sama Paus Francis dan Paus Tawadros II telah bersepakat untuk menubuhkan Chrislam dalam sebuah majlis di Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini.

Mereka turut mendakwa terdapat sebuah majlis perasmian pembukaan pusat One World Religions yang turut dihadiri oleh oleh Zulkifli yang merupakan anggota Majlis Hukama’ Muslimin.

“Dr. Ahmad dan Paus Francis ada menandatangani Dokumen Perpaduan Insani dan Kehidupan Bersama pada 4 Februari 2019 namun ia sama sekali tidak berkaitan dengan penubuhan Chrislam atau usaha penyatuan agama.

“Gambar-gambar yang disebarkan adalah daripada program ini dan bukannya berlaku baru-baru ini. Adapun gambar Dr. Ahmad dan Pope Francis dengan aksi yang tidak senonoh adalah palsu.

“Syarikat pengeluar pakaian Benetton yang mengeluarkannya atas alasan “iklan” telah pun menariknya kembali setelah mendapat kritikan dunia termasuk daripada Vatikan,” jelas beliau.

Dr. Zulkifli turut menafikan berlangsungnya persidangan atau majlis perasmian pembukaan pusat One World Religions yang mengeluarkan resolusi penubuhan One World Religion, Chrislam dan Agama Ibrahimi/Abraham.

Tambahnya, hubungan baik Dr. Ahmad dan Paus Tawadros II sudah diketahui umum sejak sekian lama apabila kedua-duanya saling kunjung mengunjung pada hari perayaan masing-masing.

“Saya sependapat dengan Dr. Ahmad yang mengkritik keras desas-desus penubuhan Agama Ibrahim yang mengutamakan penyatuan agama Islam, Kristian, dan Yahudi.

‘Semoga Allah SWT memelihara Syeikhul Azhar dan kita semua daripada sebarang fitnah dan musibah.

“Islam selama-lamanya tidak akan menyamai mana-mana agama di dunia dan ia tidak menghalang kita untuk hidup bersama, saling hormat menghormati dan hidup dalam perpaduan atas nilai-nilai sejagat,” katanya.-MalaysiaGazette