Mike Pence tandatangan 'Untuk Isarel' pada bom yang diguna untuk bedil Lubnan.

TEL AVIV – Bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence yang mengadakan lawatan ke Israel telah menandatangi bom yang akan digunakan untuk membedil Lubnan.

Pence yang berkhidmat di bawah bekas Presiden AS, Donald Trump dari 2017 hingga 2021 mengunjungi tentera Israel yang ditempatkan di sempadan Israel dan Lubnan yang menjadi kawasan pertempuran sengit antara tentera zionis dan Hizbullah.

Media Israel, Ynet melaporkan bahawa dia telah menandatangani bom tersebut dengan mesej: “Untuk Israel”.

Sokongan padu Pence terhadap Israel bermula sejak beberapa dekad dan dia telah menuduh Presiden AS, Joe Biden lemah dalam isu perang di wilayah Palestin, Gaza – walaupun adalah jelas Washington menyokong Tel Aviv.

Dalam lawatan itu Pence bertemu dengan Mej. Jen. Ori Gordin, yang memberikannya gambaran terkini tentang aktiviti Israel di sektor utara negara zionis.

Gordin mendakwa bahawa Hizbullah telah melanggar gencatan senjata serantau yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada akhir Perang Lubnan Kedua.

The Times of Israel melaporkan, Pence juga bertemu dengan askar simpanan Briged Artileri 7338, yang telah ditugaskan mempertahankan sempadan utara sejak 7 Oktober.

Dalam temu bual dengan CBN News, bekas naib presiden AS itu membincangkan sokongan Amerika terhadap Israel, antisemitisme, dan kepercayaannya sendiri sebagai Zionis Kristian.

“Saya datang ke Israel untuk memberitahu rakyat sekutu kami yang paling dihargai bahawa rakyat Amerika bersama anda,” kata Pence.

Pence menekankan bahawa adalah sangat penting bahawa AS menjelaskan bahawa mereka bersama Israel dan akan bersama Israel esok, “dan kita akan bersama Israel setiap hari sehingga ancaman keganasan Hamas dari Gaza dihapuskan sekali dan untuk selamanya. ”

Lawatan Pence itu serentak dengan kunjungan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken membuat satu lagi lawatan ke Timur Tengah – yang keempat sejak Israel melancarkan perangnya ke atas Gaza pada 7 Oktober.

Israel berhadapan dengan serangan balas daripada Hizbullah selepas rejim itu membunuh seorang pemimpin Hamas di Beirut minggu lalu. – Agensi