Bekas pegawai agensi kerajaan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah bernilai RM5,000 bagi pembekalan pelekat promosi makanan ketika di Kompleks Mahkamah Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 03 SEPTEMBER 2021.

SHAH ALAM – Bekas pegawai sebuah agensi kerajaan direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan rasuah bernilai RM5,000 berkaitan pembekalan pelekat promosi makanan Malaysia.

Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 44 tahun itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar, Saidatul Akmar Suberi di Mahkamah Majistret di sini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Shah Alam pada pukul 9.40 pagi dengan memakai baju lokap berwarna jingga diiringi pegawai SPRM.

Menurut sumber, suspek ditahan pada pukul 2.50 petang semalam selepas hadir untuk memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.

Jelasnya, siasatan awal mendapati suspek telah meminta dan menerima rasuah berjumlah RM5,000 daripada sebuah syarikat pengiklanan.

“Perbuatan itu dipercayai dilakukan antara tahun 2017 sehingga tahun lalu sebagai balasan membantu mendapatkan projek pembekalan bagi kerja-kerja mereka bentuk, membekal, mencetak dan memasang pelekat promosi makanan Malaysia pada kenderaan,” katanya ketika dihubungi.

Tambah sumber itu lagi, suspek juga telah meletak jawatan pada Mei tahun lalu setelah berkhidmat selama 20 tahun di agensi kerajaan tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette