Jill Ireland Lawrence Bill Kuala Lumpur High Court. PIX: MalayisaGazette Allah Christians Islam Christian Kuala Lumpur High Court. PIX: MalayisaGazette
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Bekas pengerusi dan bekas ahli exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan bersubahat membabitkan wang berjumlah RM195,000 dua tahun lalu.

Tertuduh, Bok Siew Mun, 47, dan Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka di mahkamah berasingan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Siew Mun didakwa sebagai pengerusi MCPF ketika kejadian telah melakukan pecah amanah jenayah iaitu dana MCPF Kuala Lumpur dengan mengarahkan bayaran secara cek berjumlah RM195,000 kepada Syarikat Trio Green Hornet Sdn. Bhd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Bandar Sri Permaisuri antara 26 Februari hingga 31 Mei 2019.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dua puluh tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Hakim Hasbullah Adam kemudiannya menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, Saiful Hamiruzzaman yang juga merupakan pakar kriminologi didakwa bersubahat dengan Siew Mun untuk melakukan pecah amanah jenayah dengan mengemukakan invois milik Syarikat Trio Green Hornet Sdn. Bhd. dan menandatangani baucer bayaran MCPF Kuala Lumpur pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan hukuman sama.

Hakim Datin Sabariah Othman membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrin Zaharinan sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebutan kes ditetapkan pada 30 April depan. – Malaysia Gazette