Tempoh reman seorang ibu dan kekasihnya bersabit kes bunuh anaknya berusia tiga tahun di sebuah rumah di Taman Paya Emas Cheng, Melaka minggu dilanjutkan tujuh hari lagi oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh bermula hari ini.

MELAKA –  Seorang ibu dan kekasihnya direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh anak lelakinya berusia tiga tahun di sebuah rumah di Cheng, awal pagi semalam.

Perintah reman sehingga 13 Julai ini terhadap wanita berusia 24 tahun dan kekasihnya, 25, dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana bunuh dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Terdahulu kedua-dua suspek berpakaian lokap tiba pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh pada pukul 8.30 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Chistropher Patit berkata, sebelum kejadian, ibu kandung mangsa menghantar anaknya itu ke rumah teman lelakinya yang bekerja sendiri pada pukul 5.30 pagi semalam untuk berubat selepas kerap  muntah-muntah.

Bagaimanapun, 40 minit kemudian, teman lelakinya menghubungi kekasihnya memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri akibat terjatuh sebelum kedua-dua mereka membawanya ke Hospital Melaka.

“Sebaik tiba di Zon Merah Hospital Melaka pada 6.50 pagi, pegawai perubatan cuba memberi bantuan pernafasan selama lebih sejam namun mangsa tidak memberikan sebarang reaksi.

“Kanak-kanak itu kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 9.15 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, mayat kemudian di bawa ke Unit Perubatan Forensik dan hasil bedah siasat mendapati kecederaan di kepala dan badan sebelum pasangan kekasih itu ditahan di hospital untuk siasatan lanjut.

Hasil siasatan awal mendapat, lelaki berkenaan mengaku bertindak menendang dan menekan perut mangsa berkali-kali secara agresif selepas mangsa muntah di atas sofa kesayangannya.

“Suspek mengaku menekan perut mangsa secara agresif berkali-kali selain menendang sehingga kepala mangsa terhantuk ke lantai.

“Akibat perbuatannya itu, tengkorak dan organ dalam perut mangsa pecah,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak dan Seksyen 302 KK . – MalaysiaGazette