Akmal Nasrullah Nasir
Akmal Nasrullah Nasir

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO perlu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan wujudnya usaha membeli ahli parti itu oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir berkata, siasatan perlu dibuat berasaskan dakwaan dan bukti sekiranya ada.

Tambah beliau, laporan itu kelak mungkin akan menjadi pembuka jalan untuk rakaman suara yang dikaitkan dengan Perdana Menteri merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jawatan kepada yang menyokongnya sebelum ini untuk turut disiasat oleh SPRM.

“AMK menasihatkan agar sebarang dakwaan sogokan perlu dilaporkan segera kepada SPRM tanpa perlu menunggu diugut untuk disaman oleh satu pihak lagi seperti yang dinyatakan Ketua Penerangan Bersatu (Wan Saiful Wan Jan).

“Ini selaras dengan perkara 25(1) Akta SPRM yang menyatakan tentang kewajipan untuk melaporkan transaksi penyogokan.

“Ini juga akan memungkinkan siasatan akhirnya dibuat terhadap rakaman suara yang bocor sebelum ini mirip Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan sogokan jawatan dan lantikan untuk sokongan yang membentuk kerajaan serta kontroversi tawaran surat sokongan Pemuda PPBM (Armada) sebagai meraih undi ketika perebutan jawatan parti yang sehingga kini masih belum ada sebarang perkembangan siasatan walaupun telah banyak laporan dibuat,” katanya menerusi kenyataan.

Tidak terkejut dengan dakwaan ini, Akmal berkata, ia seiring dengan cubaan Bersatu untuk menggantikan UMNO.

“Tiada yang luar biasa bagi pengkhianat untuk terus mengkhianati serta melakukan sogokan dan saya tidak berminat untuk mengulas persengketaan UMNO-PPBM yang seperti tiada penhujungnya.

“Tambahan pula semua sedia maklum bahawa matlamat pertubuhan PPBM semenangnya mahu melemahkan dan menggantikan UMNO,” tambahnya.

Bagaimanapun ujar Akmal, apa juga gerakan politik sepatutnya berlandaskan prinsip intergriti.

“Dakwaan Ketua Pemuda UMNO (Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) bahawa beliau mempunyai bukti yang kukuh hanya telah mengesahkan bahawa budaya politik wang kembali mekar dan amat mendukacitakan apabila amalan kotor ini melibatkan parti-parti yang berselindung di sebalik sentimen agama dan bangsa,” kata Akmal.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas lanjut dakwaan  yang disuarakan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki baru-baru ini yang dalam masa sama menggesa agar Bersatu menghentikan usaha mencuri ahli parti itu.

Menerusi kenyataan Asyraf berkata, ada ahli UMNO mengaku bahawa setiap yang menyertai Bersatu dibayar untuk cawangan yang ditubuh diperuntukkan RM3,000 hingga RM5,000.

Perkara yang sama juga dikatakan oleh Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mendakwa Bersatu menawarkan wang berjumlah RM20,000 kepada segelintir ahli UMNO bagi menubuhkan cawangan parti itu di Perak.

Namun dakwaan itu dinafikan oleh Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.-MalaysiaGazette