Xi Jinping

BEIJING- Inisiatif Belt and Road China mestilah menggunakan teknologi hijau dan lestari, kata Presiden Xi Jinping ketika merasmikan sidang kemuncak Belt and Road pada Jumaat.

Katanya, pelan infrastruktur dan perdagangan besar-besaran itu patut menghasilkan pertumbuhan berkualiti tinggi kepada semua orang.

Rancangan Xi untuk membina semula Laluan Sutera yang menghubungkan China dengan Asia, Eropah dan negara-negara lain dengan membelanjakan peruntukan besar ke atas infrastuktur telah menimbulkan kontroversi kerana beberapa negara rakan kongsinya merungut mengenai kos projek berkenaan yang terlalu mahal.

China telah berulang kali menegaskan, ia tidak berhasrat untuk membelenggu sesiapa dengan hutang.

Katanya, negara itu mempunyai niat yang ikhlas untuk menjayakan projek berkenaan dan akan menggunakan sidang kemuncak selama seminggu di Beijing itu bagi memberi penerangan mengenai dasar-dasarnya serta menjawab pelbagai kekeliruan.

Dalam ucaptamanya, Xi berkata, perlindungan terhadap alam sekitar mesti menjadi agenda utama di bawah skim “untuk melindungi rumah yang sama-sama kita huni”.

“Kita mesti menerima konsep keterbukaan, kehijauan dan kebersihan.

“Bekerja keras dan menentang rasuah bersama-sama tanpa ada toleransi,” katanya. – Agensi