Foto Instagram Shila Amzah.

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Shila Amzah mengesahkan dia dan suami iaitu Ubai bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi.

Shila atau Nurshahila Amir Amzah berkata, dia dan suaminya, Ubai baru memaklumkan berita gembira tersebut kerana mahu memastikan kandungannya berada dalam keadaan baik.

“Ada sebablah kenapa kami baru beritahu semua orang untuk memastikan tempoh kehamilan ini berjalan lancar. Terima kasih kepada yang mendoakan sebelum ini. Doakan semoga kandungan saya selamat dan dipermudahkan segalanya,” katanya.

Shila berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram miliknya hari ini.

Menerusi perkongsian video tersebut, Ubai turut berkongsi kisah pahit manis yang mereka lalui sepanjang tahun 2023 termasuk kehilangan dua orang tersayang iaitu abang dan ibunya.

“2023 meninggalkan peristiwa manis dan sedih yang banyak mengajar kami berdua. Tahun ini juga kami mengambil keputusan berkahwin.

“Tahun lepas juga arwah adik pergi sebelum majlis pertunangan kami diikuti pula pemergian arwah mak beberapa hari sebelum kami bernikah.

“Selesai cerita kami di tahun 2023 dan di tahun 2024 ini kami ingin membukanya dengan satu perkhabaran,” katanya.

Sebelum ini, Shila meminta orang ramai untuk menghormati dirinya apabila ada menegur perubahan berat badannya.

Sebelum ini, netizen membuat spekulasi bahawa penyanyi lagu Patah Seribu itu kini sedang berbadan dua, namun Shila tidak mengiyakan atau menidakkan dakwaan tersebut.

Shila, 34, dan Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 26, mendirikan rumah tangga pada 4 Ogos lalu.

Ia merupakan perkahwinan kedua Shila selepas rumah tangga dibina bersama Haris Edraki Elia pada April 2018 berakhir dengan penceraian.

Mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Seth Uwais yang kini berusia lima tahun. – MalaysiaGazette