Dr. Adham Baba

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta agar rakyat negara ini terus patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh kementerian itu.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, langkah itu perlu bagi mengelakkan wujudnya kluster baru sempena Aidilfitri pada Ahad ini.

“Kita melihat kepada jangkitan Covid-19 apabila ada perjumpaan besar-besaran, atau pergerakan besar dari satu tempat ke tempat lain, kita jangkakan jangkitan itu berlaku kerana kita tidak tahu virus itu ada dimana.

“Untuk itu persiapan di kementerian sentiasa bersiap-sedia kerana ini hanya membimbangkan dan kita doa agar tidak berlaku jangkitan. Yang penting rakyat Malaysia patuh kepada SOP yang telah diberikan dan diiklankan,” katanya selepas ditemui media dalam Hari Kajian Klinikal Antarabangsa, di kementeriannya hari ini.

Adham berkata demikian ketika ditanya mengenai Kelantan yang kembali dijangkiti Covid-19 daripada kes seorang pesakit yang juga wanita hamil kembali ke negeri itu.

Justeru itu, Adham berkata, pihaknya sedang dalam operasi mencari kontak rapat pesakit itu dan akan dibawa ke hospital untuk proses saringan Covid-19.

“Kelantan sudah lama dikategorikan sebagai zon hijau, dah lama dengan adanya kes baharu ini ia memberikan kita lokasi yang diisytihar sebagai zon positif. Jadi kita masih menunggu lagi Hari Raya samada kluster Hari Raya akan naik pulak lepas ini.

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab memastikan kesiapsiagaan dipatuhi, kita sediakan fasaliti di hospital, makmal dan kelengkapan di pusat Covid-19, kita akan cari kontak mereka yang positif itu dengan kadar segera. Kita akan buat saringan kepada kontak berkenaan dan kita akan terus masukkan dalam hospital.

Terdahulu Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, Kelantan kembali mencatatkan jangkitan Covid-19 dengan kes terbaharu dikesan di Kuala Krai.

Pesakit dipercayai pulang ke negeri itu ketika sempadan negeri dibuka baru-baru ini.

Beliau sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Untuk rekod, Kelantan sebelum ini dikategorikan sebagai negeri bebas Covid-19 apabila tidak mencata kes positif Covid-19 selama 33 hari. – MalaysiaGazette