BERSIH 2.0

KUALA LUMPUR – BERSIH 2.0 mencadangkan kerajaan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Pelantikan dan Pemecatan Pegawai Jawatan Utama Kerajaan.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 berkata, RUU berkenaan perlu mengandungi sembilan langkah yang perlu dilaksanakan dalam proses pelantikan jawatan utama kerajaan.

Proses itu menurut badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan, termasuk pembentukan satu kod pemerintahan untuk membimbing pelantikan jawatan utama kerajaan.

Ia merangkumi prinsip-prinsip seperti tidak mementingkan diri sendiri, integriti, jasa, keterbukaan, kepelbagaian, jaminan dan keadilan.

Antaranya langkah-langkah lain yang turut dicadangkan juga ialah menteri yang berkaitan mesti melantik panel penasihat penilaian yang bebas dan diketuai pertubuhan masyarakat sivil untuk menemubual dan mengesyorkan calon jawatan utama kerajaan.

Jelas jawatankuasa NGO itu, ia juga harus disusuli dengan jemputan terbuka kepada rakyat untuk memohon kekosongan jawatan tersebut.

“Setelah melalui proses pemilihan, panelĀ  akan mengesyorkan hingga tiga calon untuk setiap kosongan kepada menteri yang berkaitan, mengikut urutan pilihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada tahap itu, kata kenyataan yang sama, menteri mempunyai dua pilihan iaitu boleh menerima calon tersebut atau boleh merujuk perkara itu kembali ke panel penasihat penilaian untuk pertimbangan semula.

Sekiranya menteri tersebut merujuk kembali dan panel bertegas untuk senarai asal maka menteri secara undang-undangnya perlu menerima calon-calon tersebut,” kata kenyataan yang sama.

Selain itu, menteri juga perlu mencalonkan individu yang dicadangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen yang berkaitan.

Jawatankuasa itu boleh mengesahkan atau merujuk pencalonan ituĀ  kepada menteri berserta laporan yang menyatakan sebab-sebab pertimbangan semula.

“JPK akan berbincang bagi mempertimbangkan pencalonan menteri. JPK akan bertindak sebagai lapisan tambahan untuk semak dan imbang proses pelantikan dan penilaian sedemikian (yang sering dilakukan oleh umum) bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti,” tambahnya.

RUU juga perlu mewajibkan menteri untuk melantik calon yang berjaya dipersetujui oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

RUU tersebut dalam masa yang sama juga akan menetapkan seorang pesuruhjaya untuk pelantikan dan pemecatan jawatan utama kerajaan terutamanya yang ditugaskan untuk mengawasi semua prosedur bagi memastikan semua peraturan tersebut dipatuhi oleh semua kementerian, agensi, menteri, Panel Penasihat Penilaian dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen.

“Sekiranya Jawatan Utama ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berdasarkan undang-undang kita, menteri akan menasihati YDPA untuk melantik calon yang berjaya.

“Pesuruhjaya juga akan mengaudit proses pelantikan dan pemecatan dan menerbitkan laporan kepada masyarakat mengenai audit tersebut, untuk memastikan ketelusan dan pemeriksaan,” katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 mengutarakan cadangan berkenaan berdasarkan kajian perbandingan proses pelantikan jawatan utama kerajaan di United Kingdom, Kanada dan Amerika Syarikat.-MalaysiaGazette