Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin hadir pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 dan Jasamu Dikenang 2019 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Hotel Everly, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 06 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Biro Politik PKR mempunyai kuasa untuk membuat keputusan sebelum membentangkannya kepada Lembaga Disiplin PKR sebelum membuat sebarang tindakan.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, memandangkan beliau salah seorang ahli dalam Biro Politik PKR, langkah untuk bercuti daripada jawatan dalam parti adalah tepat.

“Oleh kerana saya orang yang berkenaan, jadi lebih profesional kalau saya berehat untuk mereka buat keputusan. Saya tidak mahu mempengaruhi keputusan yang dibuat dalam Biro Politik PKR.

“Lembaga Disiplin akan bentang kepada Biro Politik, kemudian akan buat keputusan politik dan saya tak perlu ada di sana,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis Kementrian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) malam ini.

Semalam, Zuraida menghantar surat permohonan cuti daripada memegang semua jawatan dalam parti sehingga lembaga disiplin selesai menjalankan siasatan ke atas dirinya.

Perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha Politiknya, Nor Hizwan Ahmad pada satu sidang media semalam dan turut memaklumkan surat berkenaan telah dihantar kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Ia susulan daripada dua surat tindakan undang-undang daripada Setiausaha Politik Anwar, Farhash Wafa Salvador dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam pada itu, Zuraida juga mengesahkan setakat ini beliau tidak dimaklumkan sebarang tarikh dipanggil mengadap Lembaga Disiplin PKR.

“Tiada (tarikh) dan saya tak tahu, itu prosedur, sebab saya adalah ahli Biro Politik, saya tahu,” katanya.

Ditanya tentang hasratnya untuk menyertai parti lain susulan beliau menerima notis tindakan disiplin, bagaimanapun beliau enggan membuat sebarang spekulasi.

“Saya tak nak buat spekulasi atau sebagainya. Tidak jadi masalah, saya boleh berkhidmat apa sahaja diri saya, di mana saja dan bila-bila masa, tiada masalah pun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Zuraida bercuti dari tugas Naib Presiden PKR