Jessica Chew Cheng Lian

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengadakan sesi libat urus dengan bank pada bulan-bulan akan datang berhubung penyerahan kelompok pertama pelan pemulihan masing-masing, kata Timbalan Gabenor BNM Datuk Jessica Chew Cheng Lian.

Beliau berkata, fokus utama mesyuarat adalah bagi memastikan industri perbankan di Malaysia teguh memandangkan tekanan yang dialami oleh bank adalah luas dan pelbagai.

“Ini seterusnya bertujuan mengurangkan kemungkinan kepada institusi kewangan perlu melakukan resolusi,” katanya ketika berucap pada Simposium Resolusi Kebangsaan (NRS) 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata, bank pusat perlu memastikan analisis strategik yang disediakan oleh bank adalah teguh berikutan kepelbagaian tekanan yang dialami.

“Pelan pemulihan yang dilaksanakan dengan baik sewajarnya mengurangkan peluang untuk institusi kewangan memerlukan penyelesaian,” katanya.

Menurutnya BNM mengambil pendekatan menggunakan maklumat sama yang terkandung dalam pelan pemulihan untuk menyediakan input kritikal bagi membangunkan strategi resolusi yang munasabah.

“Langkah ini sejajar dengan harapan kami bahawa bank perlu menguruskan risiko mengikut kemampuan mereka untuk pulih daripada tekanan buruk dan luar biasa yang boleh menjejaskan daya maju masing-masing.

“Sekiranya proses rancangan pemulihan ini menunjukkan kapasiti pemulihan yang mungkin tidak tercapai, bank dijangka mempertimbangkan langkah perniagaan dan operasi untuk mengurangkan pendedahan kepada kejutan,” katanya.

Beliau berkata, langkah ini dijangka memerlukan perubahan dalam hala tuju perniagaan bagi sebahagian bank.

“Kami percaya bahawa pendekatan ini adalah sejajar dengan tanggungjawab utama bank, berbanding dengan pihak berkuasa resolusi, bagi memastikan bank berupaya untuk berdepan dengan tempoh tekanan yang buruk,” katanya. – BERNAMA