Penerbit Eksekutif filem Amazing Titanman, Jaguar Lim bercakap kepada media selepas tayangan filem Amazing Titanman di Red Boxes, Pusat Membeli Belah Pavillion, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 05 FEBUARI 2018

KUALA LUMPUR – “Saya tak malu, saya anggap ia sebagai seni, kata pelakon utama filem Amazing Titanman,” kata Jaguar Lim.

Beliau berkata demikian ketika ditanya babak separuh bogel dalam filem yang sama.

“Dalam filem ini, saya berlakon sebagai makhluk asing dari Planet Titan yang melawat bumi.

“Filem ini idea saya sepenuhnya dan ingin menampilkan kelainan. Jadi, saya perlu beranikan diri untuk lakonkan babak tidak berpakaian,” katanya selepas pratonton Amazing Titanman baru-baru ini.

Penerbit Eksekutif filem Amazing Titanman, Jaguar Lim bersama wakil Taiwan (duduk, kiri) serta wakil dari Hong Kong, Angus Chan (duduk,kanan) bergambar kenangan selepas menandatangani kebenaran untuk tayangan filem di Taiwan dan Hong Kong di Red Boxes, Pusat Membeli Belah Pavillion, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 05 FEBUARI 2018

Menurut Lim, pada mulanya pihaknya mahu membeli kostum aidiwira di Jepun atau Amerika Syarikat (AS) tetapi selepas mendapati kosnya tinggi mereka membatalkan hasrat itu.

“Selepas berbincang dengan pengarah, saya mengambil keputusan untuk tampil separuh bogel kerana selalunya dalam filem, makhluk asing apabila turun ke bumi tidak berpakaian.

“Saya tidak takut atau malu kerana menganggap ia sebagai seni,” katanya.

Beliau berharap penonton dapat menerima baik filem terbabit yang akan ditayangkan pada 22 Februari ini sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Filem itu juga akan ditayangkan di Hong Kong dan Taiwan pada Mac ini.

Amazing Titanman diarahkan Eddie Tiger mengisahkan pegawai NASA dari AS menyiasat kehadiran makhluk asing yang dikatakan berada di Malaysia untuk mencari kebahagiaan.

Namewee juga turut berlakon dalam filem itu selain Azman Hassan, Jordan Voon, Rosa Chong, dan model Iran, Mehrdad Razavi Mozart.- MalaysiaGazette