Gambar daripada petikan rakaman sebuah rancangan realiti terbitan stesen televisyen swasta menunjukkan Yusof menangis ketika ditemubual mengenai anaknya Syamsul.

KUALA LUMPUR – Penerbit dan pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam dilihat menitiskan air mata mengenangkan tindakan anak lelakinya Syamsul yang  membelakangkan beliau apabila bernikah dengan Ira Kazar.

Menerusi temubual dengan sebuah stesen televisyen hari ini, Yusof memaklumkan isterinya Datin Fatimah Ismail turut memendam perasaan kecewa di atas apa yang berlaku.

“Bohonglah kalau saya kata saya tak kecewa. Tapi, perasan dan luahan hati saya mungkin tidak sama dengan datin (isteri Fatimah Ismail) .

“Ibunya rasa sedih dan marah sedikit. Saya pun berpesan dengan datin, kita doa yang baiklah, kalau timbul permasalahan selepas ini saya harap Syamsul akan berikan penjelasan yang sejelas-jelasnya dan bertanggungjawab dengan apa yang berlaku,” katanya.

Menurut Yusof, jika ditakdirkan, Syamsul tidak mempunyai jodoh yang panjang dengan menantunya, Puteri Sarah Liyana, anaknya harus menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa bukan sekadar hanya memberikan wang malah banyak lagi aspek yang lain perlu dipikul.

Kelmarin, Syamsul meleraikan spekulasi apabila mengesahkan berkahwin dua dengan wanita pilihannya, Ira di Thailand.

Syamsul berkongsi berita gembiranya itu menerusi video dimuat naik dalam laman Instagram (IG).

Majlis akad nikah Syamsul dan Ira berwalikan bapa Ira yang juga pelakon veteran, Kazar Saisi.

Dalam pada itu Yusof turut berkongsi rahsia bagaimana beliau menjaga rumahtangganya selama hampir 40 tahun yang kekal hingga hari ini.

Katanya, sebagai seorang suami beliau sentiasa memujuk isteri dan tidak membiarkannya mengasingkan diri.

“Dalam rumah tangga saya dah kahwin hampir 40 tahun dan selama itu yang mengekalkan hubungan kami sebab saya bersifat memujuk kalau isteri kita merajuk kita pujuk.

“…jangan biarkan isteri asingkan diri, jangan biarkan isteri merajuk, jangan biarkan isteri memendam rasa sebab kita manusia tak sempurna.

“Suami tak sempurna isteri juga tak sempurna, kalau ada kesalahan masing-masing selesaikan terutama suami. Suami harus memainkan peranan sebab suami merupakan imam dalam satu keluarga,” katanya.

Menurut Yusof lagi, suami tidak boleh pentingkan diri dan tidak boleh mengharapkan agar isteri sentiasa mendengar cakap mereka 100 peratus kerana isteri bukannya robot.

Katanya,isteri adalah manusia yang suci yang melahirkan anak-anak dan jika ada perasaan tanggungjawab sayangkan isteri suami perlu bersikap tolak ansur dan Insyaaallah rumah tangga akan kekal selamanya.

“Itu saja pesanan saya kepada Syamsul…saya selalu doakan…apa yang saya luahkan ini daripada isi hati saya yang mahu lihat kebahagiaan anak-anak, itu sahaja,” ujarnya dalam nada pilu. – MalaysiaGazette