Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa hadir pada Sidang Media Pasca Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menegur sikap anggota Pemuda parti berkenaan yang mengejek wakil Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dengan sorakan ‘boo’ di Slim River hari ini.

Kata beliau, insiden yang berlaku ketika Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN Perak sebentar tadi tidak wajar.

Tambah beliau, sepatutnya masing-masing pada waktu ini menumpukan usaha memperkukuhkan penyatuan dan bekerja menuju Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim secara berpasukan.

“Saya harap ia tidak benar..Jika benar ia amat tidak wajar. Mungkin kerana suasana “gallery” dan ada yang “play to the gallery”…PENYATUAN BUKAN SESUATU YG MUDAH NAMUN KITA HARUS SABAR…Perkukuhkan solidarity..maaf kiranya ada yang tak kena. Kita tumpu PRK SECARA BERPASUKAN,” kata beliau menerusi Takaun witter.

Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden yang berlaku hari ini apabila dua kali ahli-ahli Pemuda BN yang hadir semasa pelancaran Jentera Pemuda Perak seolah-olah tidak berpuas hati dengan sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Ia bermula apabila Pengerusi Pemuda BN, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sedang memperkenalkan barisan wakil parti komponen seperti Pemuda MCA, MIC dan Pas sebelum menyebut nama Armada yang disambut dengan sorakan ‘boo’.

Sorakan yang sama diterima wakil Armada itu apabila Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyebut nama parti tersebut.

Salah seorang wakil Armada yang berada di atas pentas itu adalah Ketua Armada Perak, Mohd. Hafez Mubin Mohd Salleh.

Mohd. Hafez yang ditemui selepas majlis itu berkata, beliau tidak mengambil hati sebaliknya menegaskan Armada akan tetap komited dan berjanji akan membantu calon BN, Mohd. Zaidi Aziz tidak berbelah bahagi pada PRK Slim.

Terdahulu, Pemangku Pengerusi dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan parti berkenaan bersetuju menyertai Muafakat Malaysia yang disertai UMNO dan Pas sebagai sebuah gabungan besar. – MalaysiaGazette