Najib Razak
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada sesi ceramah bersama Bossku sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Bandar Rinching, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 22 FEBRUARI 2019.

SEMENYIH – Memasuki hari ketujuh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib tampil memperjelaskan makna sebenar slogan ‘Bossku’ yang diketengahkan beliau kini.

Di hadapan lebih 1,000 peserta ceramah beliau di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) dalam Pusat Daerah Mengundi Bandar Rinching, bekas Presiden UMNO itu berkata, perkataan ‘Bossku’ baginya adalah rakyat negara ini adalah majikan bagi beliau.

“Saya nak bagitau ‘Bossku’ apa maknanya. Bossku ni di Sabah maknanya kawanku.

“Bila kata bossku pada saya, saya ingatkan diri saya bos adalah rakyat. Bila kata bosku bukan bererti bos sebenar. Rakyat jadi bos kita,” katanya dalam ceramah beliau.

Ini kali pertama Najib memperjelaskan maksud sebenar slogan ‘Bossku’ kepada umum.

Fenomena ‘Bossku’ dan ‘Malu Apa Bossku’ kini trending di media sosial dan rakyat negara ini.

Mana tidaknya, aura itu semakin terasa sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan janji-janji dalam manifesto mereka sejak memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), Mei lalu.

Dalam pada itu, Najib turut memperincikan slogan ‘Malu Apa Bossku’ juga membawa makna tersendiri bagi dirinya.

Jelas beliau, slogan itu harus dilihat sebagai tanda kesyukuran atas rezeki yang diperolehi dan tidak mudah lupa diri.

“Bila kita ada ucapan malu apa bosku, malu apa tu bukannya makna takde rasa malu. Kalau kita ada kereta kecik pun kita tak patut rasa malu.

“Kita bersyukur atas apa yg kita dapat dalam tangan kita. Sebab itu bila kita malu tu bukan takde rasa malu tapi rasa kesyukuran yang amat sangat atas nikmat ada,” katanya lagi.

Bossku atau bosku merupakan bahasa slanga yang kini digunakan oleh kalangan anak-anak muda terutama golongan bermotosikal.

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka menerangkan, slanga adalah kata-kata (ungkapan dan sebagainya) yang tidak tergolong dalam percakapan tidak rasmi. – MalaysiaGazette