Sebahagian daripada 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) nyaris lemas selepas bot pancung yang mereka naiki, terbalik dan tenggelam di perairan Port Dickson, Negeri Sembilan awal pagi tadi.

ALOR GAJAH – Seramai 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) nyaris lemas selepas bot pancung yang mereka naiki, terbalik dan tenggelam di perairan Port Dickson, Negeri Sembilan awal pagi tadi.

Dalam kejadian 12.40 pagi itu, kesemua PATI warga Indonesia dan Myanmar berusia antara 21 hingga 63 tahun itu sempat diselamatkan sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Melaka dan Negeri Sembilan.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, kesemua PATI terbabit didapati tidak memakai jaket keselamatan dan berhimpit di dalam bot pancung berkenaan.

“Sebelum itu, pasukan Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan Op Murni dan Op Tiris Fasa 2.0, mengesan kedudukan bot pancung PATI terbabit menuju Tanjung Rhu di Sepang, Selangor pukul 10 malam.

“Ketika aset Maritim cuba memintas, bot suspek bertindak memecut laju melarikan diri menyebabkannya terbalik dan tenggelam namun kesemua 30 PATI sempat diselamatkan Maritim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Iskandar, kesemua PATI terbabit yang gagal mempamerkan dokumen perjalanan yang sah direman 14 hari bermula hari ini.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana cuba menyeludup keluar dari negara ini melalui pintu yang tidak diwartakan. – MalaysiaGazette