KUALA LUMPUR – Anak syarikat Bina Puri Holdings Bhd, BP Energy Sdn Bhd (BP Energy) menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bertarikh 1 Disember 2021 untuk melaksanakan pembangunan 5.00 MWa.c. Ladang Solar PV Berskala Besar di Kunak, Sabah.

Tarikh operasi komersial dijadualkan pada 30 Jun 2023.

Dalam notis kepada Bursa Malaysia, Bina Puri berkata, BP Energy akan merekabentuk, membina, menguji, mentauliah, memiliki, mengendali dan menyelenggara fasiliti penjanaan tenaga solar PV dengan kapasiti 5.00MWa.c. yang akan dibina diatas Lot NT 243021423 & Lot NT 243021445 Kg Dasar, Kunak, Sabah untuk sambungan ke Rangkaian Pengagihan voltan sederhana SESB di PMU Kunak.

Tempoh kontrak PPA adalah selama 21 tahun daripada tarikh operasi komersial.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Puri, Datuk Matthew Tee Kai Woon berkata, selepas empat tahun menerima Surat Penerimaan Tawaran bagi projek ini daripada Suruhanjaya Tenaga (ST), akhirnya syarikat tersebut menandatangani PPA ini.

Daripada 10 syarikat yang dianugerahkan dibawah LSS2 di Sabah, Bina Puri adalah syarikat pertama yang menandatangani PPA dengan SESB.

”Ini merupakan satu peristiwa penting bagi kumpulan kerana ia adalah projek tenaga pertama Bina Puri di Malaysia, berikutan kejayaan penyenaraian anak syarikat tenaga kami pada Jun 2017 di Bursa Saham Indonesia,” katanya. – MalaysiaGazette