Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memasak bubur lambuk bersama kakitangan dan pelajar UIAM ketika Majlis Rewang Ramadan 2024 di UIAM Gombak. Foto SYADILA AMARI, 22 MAC 2024.

GOMBAK – Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar berkenan mencemar duli hadir pada program “Rewang Bubur Lambuk” di UIAM di sini hari ini.

Tunku Azizah dibantu kira-kira 100 orang kakitangan serta sukarelawan dalam kalangan pelajar bergotong-royong seawal jam 10 pagi tadi.

Rata-rata mereka begitu teruja kerana dapat menyaksikan sendiri Tunku Azizah memasak bubur lambuk.

Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyediakan bahan untuk memasak bubur lambuk ketika Majlis Rewang Ramadan 2024 di UIAM Gombak. Foto SYADILA AMARI, 22 MAC 2024.

Tunku Azizah yang terkenal dengan hobi memasaknya, ‘beraksi’ bersama warga UIAM memasak empat periuk untuk 1,500 pek bubur lambuk yang akan diagihkan kepada kakitangan serta para pelajar UIAM.

Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman berkata, program rewang ini merupakan program tahunan dan tahun ini merupakan tahun kedua aktiviti ini dijalankan.

“Program rewang bubur lambuk ini merupakan antara salah satu program bagi meraikan bulan Ramadan.

“Acara ini akan terus dilaksanakan pada tahun-tahun yang akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette.