State Health and Anti-Drug Exco, Dr Muhamad Akmal Saleh Ramadan buffet Melaka bazaar food hygiene
Melaka State Health and Anti-Drug Exco, Dr Muhamad Akmal Saleh

MELAKA – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mengeluarkan 14 kompaun terhadap 14 hotel di negeri ini yang didapati gagal mematuhi amalan kebersihan diri dan makanan dalam penyediaan bufet Ramadan.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kesalahan di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM 2009) itu dikesan dalam operasi selama tiga hari bermula 4 April lalu.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, JKN telah membuat pemeriksaan di 398 premis makanan termasuk 27 buah hotel, tapak bazar Ramadan, dan tujuh kilang ais yang keseluruhannya menyaksikan 18 kompaun dikeluarkan berjumlah RM10,550.

“Hasil pemeriksaan bufet Ramadan di 27 buah hotel, 14 kompaun dikeluarkan berjumlah RM7,600, diikuti tiga gerai di bazar Ramadan dikompaun RM450 serta sebuah kilang ais dikenakan kompaun RM2,500.

“Semua mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983 yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM 2009),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Bandar Baru Merlimau di sini, semalam.

Pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Melaka memeriksa gerai di Bazar Ramadan Bandar Baru Merlimau di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal turut mengingatkan semua peniaga dan pengendali makanan agar sentiasa memastikan juadah yang disediakan adalah selamat dan tidak memudaratkan pengguna.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar bijak memilih premis atau gerai makanan yang mengamalkan kebersihan ketika berbelanja.

“Kena sentiasa peka bahawa faktor pencemaran makanan bermula daripada pengendalinya antaranya memastikan mereka memakai apron, topi serta mengamalkan kebersihan kuku,” katanya.

Tegasnya, sebarang aduan mengenai premis makanan yang kotor serta makanan yang dijual rosak boleh disalurkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau laman sesawang http://moh.spab.gov.my. – MalaysiaGazette