Bukit Bendera

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang menafikan dakwaan pusat peranginan Bukit Bendera sebagai ‘perangkap pelancong’ seperti mana dilaporkan akhbar harian Amerika Syarikat (AS), USA Today.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, kenyataan artikel bertarikh 24 Ogos itu tidak benar susulan ia dibuat berdasarkan 24 ulasan buruk yang diambil secara rawak.

“Pengumpulan data pula hanya diambil daripada ulasan satu bahasa sedangkan terdapat ulasan dalam bahasan lain antaranya bahasa Melayu, Tamil, Mandarin dan Arab.

“Malah sejak 1923, seramai 47 juta pengunjung direkodkan datang Bukit Bendera sekali gus purata menunjukkan satu juta orang kunjungi pusat peranginan itu setiap tahun.

“Jumlah pengunjung yang direkodkan jelas menunjukkan Bukit Bendera merupakan antara tarikan utama di Pulau Pinang,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hon Wai, Projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi juga antara bukti kerajaan negeri sentiasa melakukan penambahbaikan untuk memberikan pengalaman baru buat pengunjung.

Terdahulu pusat tarikan Bukit Bendera tersenarai di tangga kesembilan daripada 100 bagi ‘perangkap pelancong’ terburuk di dunia oleh akhbar USA Today.

Ia berdasarkan analisis 23.2 juta ulasan Google mengenai 500 tarikan pelancong paling popular merangkumi 65 negara di enam benua pada Julai 2023. – MalaysiaGazette