Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias

KUALA LUMPUR – Bumi Armada Bhd mengumumkan pelantikan Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias sebagai Pengarah Bebas berkuat kuasa hari ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata Tunku Alizakri mempunyai 20 tahun pengalaman dalam bidang pengurusan kanan dan peranan peringkat lembaga dalam pelbagai sektor dan industri, termasuk perkhidmatan kewangan, perbankan pusat, penjagaan kesihatan, media dan telekomunikasi, perladangan, minyak dan gas dan pembangunan hartanah.

Beliau telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dana persaraan global yang ketujuh terbesar dengan kira-kira US$250 bilion (US$1=RM4.19) aset di bawah pengurusan.

“Bidang kepakarannya termasuk kemampanan, digitalisasi dan transformasi perusahaan, strategi korporat dan pengurusan dana,” katanya.

Saham Bumi Armada pada masa ini tidak berubah pada 43 sen dengan 1.97 juta saham diurus niaga.

— BERNAMA