Kesan letupan satu bungkusan misteri yang ditinggalkan atas sebuah kereta mengakibatkan pelayan kedai makan maut di Pandan Indah Ampang malam tadi. - Gambar ihsan Polis Ampang Jaya.

KUALA LUMPUR – Polis memberkas sepasang suami isteri yang disyaki terbabit dalam kejadian letupan sebuah bungkusan atas bonet kereta yang mengorbankan seorang pelayan kedai makan di Pandan Indah Ampang, di sini, pada Khamis lalu.

Kedua-dua suspek berkenaan difahamkan ditahan di sebuah rumah di Kedah pada malam tadi.

Mereka telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pagi ini mendapatkan perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan untuk membantu siasatan lanjut polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelayan kedai makan maut selepas buka bungkusan misteri

Dalam kejadian 29 Disember lalu, mangsa yang merupakan lelaki berusia 28 tahun maut selepas menyentuh bungkusan ‘misteri’ yang diletakkan di atas bonet keretanya tiba-tiba meletup.

Kejadian itu berlaku di hadapan sebuah restoran yang merupakan tempat kerja mangsa .

Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Ampang untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia.

Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette